Bismillah…
Firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran, ayat 103:
(وَٱعۡتَصِمُوا۟ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِیعࣰا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ۚ وَٱذۡكُرُوا۟ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَیۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَاۤءࣰ فَأَلَّفَ بَیۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَ ٰنࣰا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةࣲ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَ ٰلِكَ یُبَیِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَایَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ)
Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian pada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.”
Sabda Rasulullah SAW:
“Bersamalah jemaah orang Islam dan pemimpinnya”. (HR BUKHARI & MUSLIM)
Bekerja dalam satu jemaah adalah kewajipan bagi setiap umat Islam sebagaimana ayat-ayat dan hadis yang teramat banyak.
Logik akal sendiri mengakui bekerja berkumpulan itu adalah lebih baik dan berkesan dalam merencana gerak kerja dan dalam menghadapi ancaman musuh. Amat tidak patut umat Islam berpecah-belah dan bekerja mengikut haluan sendiri sedangkan musuh bersatu antara satu sama lain.
Punca kejatuhan Khilafah Uthmaniah pada tahun 1924 adalah kerana perpecahan umat Islam yang tidak mahu menolong sesama sendiri apabila diserang. Dengan serangan fahaman Nasionalisme sebagai senjata yang dicipta musuh, masing-masing menjadi sibuk menguruskan pentadbiran negara sehingga tidak sedar satu persatu negara umat Islam dijajah.
Perlu diingat jemaah Islam hari ini adalah bayangan Khilafah Islamiyah yang menggalas peranan pemerintahan Islam. Fiqh Harakah mula diasaskan oleh Imam Hassan Al Banna melihat kepada keperluan orang-orang Islam untuk terus bersatu bagi melunaskan tuntutan menyebarkan Islam. Ianya bergerak mengikut negara masing-masing.
Saidina Umar ada mengatakan:
” Tiada Islam melainkan dengan jemaah, tiada jemaah melainkan dengan wujud pimpinan dan tiada kepimpinan melainkan adanya ketaatan”.
Antara negara yang menyahut pendekatan Imam Hassan Al Banna,
-Mesir: Ikhwanul Muslimin
-Syria: Ikhwanul Muslimin
-Palestin: Hamas
-Malaysia: PAS
-Pakistan: Jamiat Islami
Senarai yang di atas hanya sebahagian negara yang mempunyai Harakah Islamiah yang menepati syarat mengganti khilafah. Adapun sifat harakah islamiah yang dituntut ialah:
1) Asli
– Lahir kerana tanggungjawab dakwah dan bukan kerana ketidakpuasan hati.
2) Rabbani
– Menjadikan Al Quran dan Sunnah sebagai rujukan
3) Jihadi
-Bercita-cita menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi
4) Munazzom
-Dipimpin secara tersusun
5) Alami
– Keanggotaan menyeluruh
6) Syumuli
-Merangkumi seluruh aspek kehidupan
7) Thubut
-Bersikap teguh dan tidak mengubah dasar dan prinsip.
8) Murunah
-Bersifat fleksibel dan progresif.
Justeru itu, tetap teguh dan yakinlah dengan perjuangan Islam. Umat Islam perlu bersatu dan menjauhi perpecahan kerana ia akan menjayakan agenda musuh yang sentiasa ingin merosakkan serta menjatuhkan umat Islam.
Moga bermanfaat!
USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
• Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka
• Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka
• Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah