Home Berita PAS Melaka

Pena editor Melaka | Mengapa Tun M mahu sangat Umno dan Bersatu putus?

410
SHARE

APABILA membaca satu berita yang disiarkan oleh Sinar Harian semalam bertajuk ‘Umno-Bersatu tidak serius putuskan kerjasama – Mahathir’, terus membuatkan saya rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Saya pelik mengapa Mahathir seperti cuba ‘membakar’ situasi agar Umno dan Bersatu memutuskan kerjasama?

Seolah-olah Mahathir sedang meluahkan kekecewaannya kerana Umno tidak benar-benar memutuskan hubungan dengan Bersatu dengan menarik keluar Ahli Parlimen Umno daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Adakah memang Mahathir sebenarnya tangan ghaib yang mahukan Umno dan Bersatu berpatah arang?

https://www.sinarharian.com.my/article/127326/BERITA/Politik/UMNO-Bersatu-tidak-serius-putuskan-kerjasama-Dr-Mahathir

Adakah krisis antara Umno dan Bersatu ini sebenarnya sesuatu yang memang diingini oleh Mahathir? Dan adakah Umno dan Bersatu sedang menari mengikut gendang yang dipalu oleh Mahathir dan sekutunya DAP-PH?

Maklumat yang saya dapat daripada rakan-rakan dalam PH memang mereka berpesta sakan apabila keluar berita tentang hasrat Umno untuk tidak mahu mengadakan sebarang kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 melalui satu surat yang dihantar Umno kepada Bersatu baru-baru ini. Mereka bergembira sahabat!! Seolah-olah ada sinar baharu dalam pergerakan mereka.

Pertembungan tiga penjuru antara Umno dan PAS-Bersatu (nauzubillah) akan memberi peluang kepada Anwar, DAP, PH dan sekutunya untuk menawan semula kerajaan Persekutuan pada PRU15 yang akan datang.

Jadi, jika Umno tidak mahu untuk berpakat dengan PAS dan Bersatu untuk bersama menentang PH maka Umno harus sedar bahawa mereka sebenarnya memberi nafas kepada PH yang sedang nazak.

Sebenarnya PH dalam keadaan berpecah belah sekarang. Dengan pakatan antara PAS, Bersatu dan Umno akan memudahkan kita membenamkan Anwar, Mahathir, PH dan DAP. Tapi sekiranya kita juga berpecah maka mereka pula akan bersatu mengalahkan kita.

Pihak yang paling gembira sekiranya berlaku tiga penjuru ialah Anwar-DAP-PH dan mentor mereka Mahathir. Cuba kita berfikir dalam-dalam dan berfikir panjang-panjang….

Pendirian PAS jelas. Kita mahu semua parti Melayu yang menolak Anwar-DAP-PH agar bersatu dalam satu pakatan walau pun disindir dan dilabel dengan pelbagai label. Walau pun dikatakan main dua kolam.

PAS sudah biasa dilabel. Kerana memperjuangkan Islam selama ini pun PAS dilabel dengan bermacam-macam label. Tapi memang untuk buat kerja baik dan menyatukan orang Islam ini memang banyak syaitan yang akan menghalang. Itu biasa.

Marilah kita semua melupakan semua sengketa dan bersatu padu… kita tidak sanggup bergaduh dan berpecah lagi.

Perlukah kita untuk berulang-ulang menyanyikan lagu Warisan-Anak Kecil Main Api dengan linangan air mata dan tangisan untuk lima tahun berturut-turut selepas PRU15?

IBNU JANIE
EDITOR Berita PAS Melaka dan WARM
• Ketua Unit Berita dan WARM
Jabatan Penerangan PAS Melaka