Setiap tahun pada 17 Ramadhan, umat Islam di Malaysia pasti tidak terlepas untuk menyambut Nuzul Quran. 41 tahun selepas kelahiran Nabi, turunnya mukjizat agung sebagai penyuluh kehidupan manusia dari jahiliyah telah memberi rahmat seluruh alam buana. Nabi Muhammad s.a.w utusan akhir dipilih untuk menyampaikan risalah suci kepada umat manusia akhir zaman melalui perantaraan malaikat Jibril a.s.
Firman Allah SWT.:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat.”
(Surah Al-Dukhan, ayat 3).
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.”
(Surah Al-Qadr, ayat 1).
“Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.”
(Surah Al-Baqarah, ayat 185)
Ketiga-tiga ayat ini menunjukkan penurunan berlaku pada bulan Ramadhan dan merupakan suatu anugerah Allah buat mereka yang menghidupkan malam-malam pada bulan Ramadhan.
Namun, apakah ibrah di sebalik penurunan Al-Quran ini kepada umat Islam khususnya para amilin PAS?
Antaranya ialah Kalamullah sebagai penguat jiwa dan pembakar semangat ketika ditimpa ujian dan cabaran dalam perjuangan. Menyelusuri Sirah Nabawi 1400 tahun lepas, nabi dan sahabat disakiti, dihina dan ditekan dengan begitu dahsyat oleh masyarakat Mekah. Maka Allah telah menghiburkan hati mereka dengan menurunkan ayat-ayat suci untuk menenangkan jiwa yang kusut.
Bahkan, para amilin yang hatinya bersih selalu membasahi lidah dengan kalamullah dan mendampingi Al-Quran sepanjang masa. Mereka yakin bahawa Al-Quran merupakan panduan hidup yang harus dipegang utuh. Para amilin juga merasakan wajib melazimi Al-Quran dengan merujuk tafsir-tafsir untuk mengetahui asbabun nuzul ayat yang dibaca setiap hari.
“Akhlak Nabi SAW adalah Al-Quran.” (HR Muslim).
Sesungguhnya akhlak Rasulullah itu merupakan Al-Quran seperti yang dijawab isteri baginda Saidatina Aisyah ketika disoal para sahabat. Akhlak yang terpuji lahir dari hati yang suci kerana dilimpahi dengan cahaya keimanan. Datangnya cahaya itu melalui Al-Quran yang diimani dalam kehidupan seharian baginda kerana hati yang gelap, mana mungkin dimasuki cahaya.
Justeru, para amilin sekalian, hidupkan Ramadhan yang berbaki dengan mendekatkan diri dengan Allah melalui tadabbur Al-Quran. Raihlah keampunan Allah dan pahala yang berlipat ganda dengan kelangsungan tadarus dengan tertib dan tartil.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Muslimat Memacu Kemenangan”
Disediakan oleh.
Izyan Haziqah binti Isrofeil
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak
{jathumbnail off}