Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Surah As-Saff: Siri 8

4701
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah As-Saff: Siri 8

Ayat 10-11: Perniagaan yang Sangat Menguntungkan

? Firman Allah serta terjemahannya:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَٰرَةٍ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٍ (١٠)

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?

تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٰلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡۚ ذَٰلِكُمۡ خَيۡرٌ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ (١١)

Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

? Tafsir ringkas:

1. Setelah menyatakan tujuan para Rasul diutuskan adalah untuk meninggikan syariat Allah, ayat ini menegaskan pula tentang peranan penting bagi orang beriman.

2. Ayat ini diturunkan ketika Baginda SAW ditanya oleh para sahabat tentang amalan yang paling baik dan mampu menghindarkan mereka daripada bencana dan azab neraka.

3. Amalan tersebut ialah beriman kepada Allah SWT dan rasul serta berjihad di jalan-Nya sama ada dengan harta benda mahupun dengan diri sendiri.

4. Kedua-dua amalan ini adalah lebih baik daripada melakukan perniagaan dan bersusah payah untuk tujuan di dunia semata-mata. Hal ini berlaku demikian kerana perniagaan yang ditawarkan memberikan keuntungan yang sangat besar tanpa ada kerugian iaitu kejayaan di akhirat nanti.

? Pengajaran:

1. Berusahalah untuk memenuhi empat syarat yang diajarkan oleh Allah SWT bagi mencapai kemenangan di akhirat kelak, iaitu:
– Beriman kepada Allah SWT
– Beriman kepada rasul-Nya
– Berkorban harta di jalan-Nya
– Berkorban jiwa di jalan-Nya

2. Sebagai orang yang beriman, kita bukan hanya wajib mentaati perintah dan meninggalkan larangan Allah SWT serta mengikuti jalan yang diajarkan Rasulullah SAW. Tetapi, kita juga hendaklah berazam untuk melaksanakan jihad menegakkan agama Islam dengan kemampuan yang ada.

3. Berjihadlah di jalan Allah SWT dengan diri dan harta. Modal untuk melaksanakan jihad ialah melalui infaq dari sudut kewangan, tenaga dan masa. Walaupun sedikit ia tetap memberikan kebaikan buat pelakunya.

? Rujukan:
1. Tafsir Ibnu Katsir
2. Tafhim al-Quran

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
19 Februari 2021 / 7 Rejab 1442