Minda Presiden PAS
ISRAEL: PEMILIK SENJATA PEMUSNAH YANG BERPURA-PURA MENENTANGNYA
Negara haram Israel bermuka-muka menjadi penentang paling lantang terhadap senjata pemusnah seperti bom atom, nuklear dan pelbagai jenis racun kimia yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa. Senjata-senjata itu adalah paling melampau dan ganas tanpa mengira manusia, haiwan, tumbuhan dan alam sekitar.
Pengeboman dua buah bandar di Hiroshima dan Nagasaki merupakan peristiwa yang paling dahsyat. Serangan nuklear bom atom digugurkan pada 6 Ogos 1945 oleh Amerika Syarikat terhadap Jepun.
Senjata nuklear ‘Little Boy’ dijatuhkan di bandar raya Hiroshima, kemudian diikuti pula dengan pengguguran bom nuklear ‘Fat Man’ di Nagasaki pada pada 9 Ogos 1945. Inilah satu-satunya penggunaan senjata nuklear dalam sejarah.
Anggaran bilangan nyawa yang terkorban menjelang akhir tahun 1945 mencecah 90,000 hingga 140,000 korban akibat terbakar, terkena sinaran radioaktif dan penyakit yang menyusul. Keadaan itu lebih diburukkan lagi dengan kesuntukan sumber perubatan. Dianggarkan juga sebanyak 200,000 orang mati menjelang tahun 1950 akibat penyakit barah dan kesan jangka panjang yang lain.
Negara Jepun menyambut peristiwa pengeboman tersebut setiap tahun kerana mengingati mereka pernah menjadi mangsa. Kawasan ledakan bom yang dahsyat dan keadaan mangsa kesan daripada sinaran radioaktif yang tidak meninggal dunia pada masa itu, sangat menggerunkan.
Maka digubal undang-undang antarabangsa dan dimeteraikan piagam oleh negara-negara dunia, kerana tidak mahu mengulangi peristiwa yang dahsyat itu.
Namun, negara kuasa besar terus memajukan senjata nuklear semenjak Perang Dingin sehingga kini, dan dikecualikan kepada negara haram Israel. Adapun negara-negara kecil diharamkan secara mutlak, khususnya negara Islam.
Bahan yang diperlukan untuk mencipta nuklear sebahagian besarnya terdiri daripada bahan galian seperti uranium. Uranium adalah sejenis unsur logam yang mengandungi bahan radioaktif untuk menghasilkan tenaga nuklear, senjata nuklear yang berbahaya dan sebagainya.
Uranium menjadi rebutan kerana dianggap bahan yang paling berharga. Sebenarnya bahan ini bukan sahaja digunakan untuk membuat persenjataan, bahkan lebih penting lagi boleh menjadi sumber tenaga dengan tujuan memelihara keamanan dan kebaikan, tetapi ia lebih diutamakan untuk peperangan.
Inilah kelemahan manusia yang disebutkan oleh para malaikat, apabila Allah SWT hendak menciptakan Adam AS sebagai manusia pertama dengan tugasan untuk memakmurkan bumi, bukan sahaja beribadat seperti para malaikat. Allah SWT berfirman:
﴿وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ٣٠﴾
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana (kerosakan) dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak ketahuinya.” (Surah al-Baqarah: 30)
Para malaikat ialah makhluk paling baik dan taat kepada Allah SWT. Mereka berasa bimbang akan kemusnahan yang bakal dilakukan oleh manusia di muka bumi. Namun, Allah yang Maha Mengetahui telah menetapkan bahawa makhluk manusia sahaja yang boleh memakmurkan bumi bercirikan fitrah penciptaannya.
Manusia berperanan menggunakan bahan yang sangat banyak di muka bumi dan perutnya yang bersifat positif dan negatif. Pada masa yang sama, dinyatakan sempadan yang memisahkannya sebagaimana ditetapkan oleh Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
Tugas manusia sangat mencabar dan amanah yang paling besar. Allah SWT berfirman kepada orang-orang yang beriman:
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا٧٠ يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا٧١ إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا٧٢ لِيُعَذِّبَ اللَّهُ الْمُنَافِقِينَ وَالْمُنَافِقَاتِ وَالْمُشْرِكِينَ وَالْمُشْرِكَاتِ وَيَتُوبَ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا٧٣﴾
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang benar (dalam segala perkara). (70); Nescaya Allah akan memperbaiki amalan kalian, dan mengampuni dosa-dosa kalian. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan. (71); Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tiada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. (72); (Dengan kesanggupan manusia memikul amanah itu maka) akibatnya Allah akan menyeksa orang-orang lelaki yang munafiq serta orang-orang perempuan yang munafiq, dan orang-orang lelaki yang Musyrik serta orang-orang perempuan yang Musyrik; dan juga Allah akan menerima taubat orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman. Dan sememangnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (73).” (Surah al-Ahzab: 70-73)
Allah SWT menciptakan manusia dengan ciri-ciri berjasad, berakal, mempunyai roh, kemampuan anggota pancaindera dan tenaga yang bergerak serta bermasyarakat madani.
Allah SWT menetapkan panduan yang menjadi petunjuk, serta melantik para Rasul pada setiap zaman supaya memimpin dan menjadi teladan.
Para Rasul itu mengatasi kelebihan para malaikat kerana ketaatan mereka yang lebih banyak cabarannya. Mereka berdepan dengan keadaan yang mencabar, bukan sahaja mengurus diri sendiri, tetapi hendaklah juga mengurus makhluk lain bagi memakmurkan bumi.
Bahkan juga menghadapi sesama manusia yang tidak mentaati Allah dan menjadi pengikut Iblis kerana mengikut hawa nafsu. Mereka itu menolak petunjuk daripada Allah SWT dan melawan para rasul, disebabkan tersalah dalam memanfaatkan akal dan ilmu yang diberikan oleh Allah SWT kepada dirinya.
Al-Quran mendedahkan bahawa manusia yang paling degil ialah bangsa Yahudi. Sehingga bangsa mereka diutuskan paling ramai rasul, tetapi mereka membunuh para rasul AS. Sesungguhnya perkara tersebut telah disebutkan dalam firman Allah SWT:
﴿إِنَّ الَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ حَقٍّ وَيَقْتُلُونَ الَّذِينَ يَأْمُرُونَ بِالْقِسْطِ مِنَ النَّاسِ فَبَشِّرْهُمْ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ٢١﴾
“Sesungguhnya orang-orang (Yahudi) yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil. Maka sampaikanlah berita yang menggembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah Ali ‘Imran: 21)
Allah SWT mengizinkan umat Islam agar menentang mereka yang melampau sehingga diizinkan berperang, tetapi diharamkan bertindak melampau terhadap musuh. Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT:
﴿وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ١٩٠﴾
“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kalian, dan janganlah kalian melampaui batas (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Baqarah: 190)
Maka diharamkan beberapa bentuk tindakan melampau dalam peperangan seperti membunuh mereka yang tidak terlibat dengan peperangan, khususnya golongan yang lemah seperti orang tua, kaum wanita dan kanak-kanak serta para paderi yang berada di rumah ibadat.
Penggunaan senjata pemusnah yang melampau dan tidak terkawal menyebabkan kesan yang sangat dahsyat adalah dilarang sama sekali dalam Islam.
Negara Israel ditubuhkan secara haram pada tahun 1948 dengan merampas tanah air penduduk yang sudah bermukim sejak kewujudan manusia di wilayah Palestin.
Palestin dipilih oleh Allah SWT menjadi tempat hijrah Nabi Ibrahim AS yang bergelar bapa para anbiya’ AS, bagi menegakkan agama Allah SWT bersama penduduknya.
Bahkan kewujudan bangsa Yahudi di atas nama Tanah Suci yang diberkati bagi agama Allah SWT kerana ramai dalam kalangan mereka adalah para nabi AS, bukan atas nama kebangsaan Yahudi seperti yang diuar-uarkan oleh kalangan Zionis.
Mereka tidak layak berada di situ, apabila menentang dan membunuh para nabi dan pengikutnya yang setia. Sehingga mereka ditimpa bencana dikeluarkan daripada bumi Palestin berulang kali, apabila mereka menjadi pelampau kepada agama.
Mereka sanggup menyalakan api peperangan fitnah yang membawa bencana dan kejahatan kepada manusia yang telah dinyatakan melalui firman Allah SWT:
﴿وَقَالَتِ الْيَهُودُ يَدُ اللَّهِ مَغْلُولَةٌ غُلَّتْ أَيْدِيهِمْ وَلُعِنُوا بِمَا قَالُوا بَلْ يَدَاهُ مَبْسُوطَتَانِ يُنْفِقُ كَيْفَ يَشَاءُ وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرًا مِنْهُمْ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ طُغْيَانًا وَكُفْرًا وَأَلْقَيْنَا بَيْنَهُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ كُلَّمَا أَوْقَدُوا نَارًا لِلْحَرْبِ أَطْفَأَهَا اللَّهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ٦٤﴾
“Dan orang-orang Yahudi itu berkata: “Tangan Allah terbelenggu (bakhil – kikir)”, tangan mereka sahajalah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang mereka telah katakan itu, bahkan kedua tangan Allah itu sentiasa terbuka (Maha Pemurah dan Pemberi Rahmat). Dia menafkahkan sebagaimana yang Dia kehendaki; dan demi sesungguhnya, apa yang telah diturunkan kepadamu dari tuhanmu itu akan menjadikan kebanyakan dari mereka bertambah derhaka dan kufur; dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian antara mereka hingga Hari Kiamat. Setiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya; dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.” (Surah al-Ma’idah: 64)
Allah yang Maha Mengetahui mendedahkan bahawa mereka mencetuskan api peperangan besar, demi menegakkan kejahatannya melalui pelbagai pertubuhan yang ditaja oleh mereka, khususnya gerakan Freemason, Zionis dan segala cabangnya yang lain.
Dua kali perang dunia yang pernah berlaku pada abad yang lalu, melibatkan gerakan Zionis sebagai sebuah kumpulan rakus yang melakukan kejahatan ekonomi, politik dan sosial. Mereka menggunakan pengaruhnya terhadap negara besar untuk mencetuskan peperangan.
Terkini negara haram Israel memulakan langkah menghasilkan senjata nuklear yang sangat membahayakan dunia, dengan bantuan negara Barat yang dipengaruhi oleh gerakan Freemason dan Zionis sejak mula ditubuhkan lagi. Walaupun mereka sering kali menyalahkan negara jiran yang mahu mempertahankan diri dengan cara yang tidak melampau tanpa senjata pemusnah khususnya nuklear.
Sikap mereka sangat melampau sehingga ke hari ini, bukan sahaja pada zaman yang lampau seperti peristiwa kekejaman Deir Yassin, Sabra dan Shatila. Mereka sangat berpura-pura kononnya cintakan keamanan, akan tetapi pada masa yang sama mereka sedang menyediakan segala jenis senjata pemusnah.
Apabila negara Islam dan Arab memulakan langkah awal dalam kemajuan sains tenaga nuklear, Israel menjadikannya satu isu yang besar kerana mereka menganggap sebagai ancaman keamanan di rantau Asia Barat.
Serangan telah dilancarkan ke atas Iraq, Libya dan Syria. Kini mereka mengancam untuk melakukan serangan terhadap Iran secara langsung, atau mengerahkan proksinya dalam kalangan negara Barat atau negara Arab sendiri yang berada di bawah pengaruh Zionis yang bersedia menjadi wakil mereka.
Israel telah membina persenjataan berbahaya sejak era Chaim Weizmann menjadi ketua kerajaan pertama Israel pada tahun 1948 yang merupakan seorang saintis.
Seterusnya mereka mendapat bantuan negara barat bermula dengan Perancis pada tahun 1956, semasa Perdana Menteri Israel, David Ben-Gurion membangunkan jana tenaga nuklearnya pada tahun 1957, yang berjaya menghasilkan persenjataan berbahaya itu.
Kemudian disertakan pula bantuan kerjasama dengan Amerika Syarikat, Britain, Afrika Selatan ketika era apartheid. Bahkan mendapat kerjasama dengan India bagi mengadakan ujian senjata itu, kerana di negara haram Israel yang kecil tidak terdapat kawasan ujian.
Sehingga kini Israel telah disenaraikan negara yang mempunyai senjata nuklear, namun penguasaannya terhadap senjata itu sengaja ditutup oleh media atau diperkecilkan. Seolah-olah Israel menjadi mangsa yang perlu diberikan simpati. Maka peranan mereka menonjolkan wanita berketurunan India memenangi jawatan Naib Presiden Amerika adalah sangat berkaitan.
Pada tahun 1986, pihak media telah berjaya membongkarkan satu berita pendedahan seorang saintis Israel bernama Moegokhey Paanono @ John Croman yang bersembunyi di Australia telah diculik oleh ejen Mossad (Perisikan Israel).
Kejadian itu berlaku setelah dia berjaya mencuri maklumat bergambar yang mendedahkan bahawa Israel memiliki senjata pemusnah yang sangat besar dan boleh digunakan pada bila-bila masa sahaja demi menyelamatkan diri dengan cara yang paling ganas.
Namun kesalahan itu sengaja diletakkan pada pihak yang dianggap mengancam keselamatan mereka tanpa mempedulikan keselamatan bangsa lain.
Mereka menganggap semua bangsa bukan Yahudi adalah ‘goyim’ iaitu tidak mulia martabatnya sepertimana Yahudi yang paling mulia di sisi Allah SWT mengikut ajaran mereka.
Mereka menganggap bahawa mereka sahajalah anak-anak Allah SWT dan kekasih-Nya. Adapun bangsa lain adalah ‘goyim’ atau ‘areel’ atau ‘mamzer’ yang hina (Taurat 31. 8).
Allah SWT berfirman:
﴿وَقَالَتِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى نَحْنُ أَبْنَاءُ اللَّهِ وَأَحِبَّاؤُهُ قُلْ فَلِمَ يُعَذِّبُكُمْ بِذُنُوبِكُمْ بَلْ أَنْتُمْ بَشَرٌ مِمَّنْ خَلَقَ يَغْفِرُ لِمَنْ يَشَاءُ وَيُعَذِّبُ مَنْ يَشَاءُ وَلِلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا وَإِلَيْهِ الْمَصِيرُ١٨﴾
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani berkata: “Kami adalah anak-anak Allah dan yang amat disayangi-Nya.” Katakanlah (wahai Muhammad): “(Kalau betul demikian), maka mengapakah Dia menyeksa kalian dengan sebab dosa-dosa kalian? (Sebenarnya bukanlah sebagaimana yang kalian dakwakan) bahkan kalian semuanya adalah manusia biasa antara manusia-manusia lain yang diciptakan-Nya. Dia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan serta hukum syariat-Nya), demikian juga Dia menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi serta segala yang ada antara kedua-duanya, dan kepada Allah jualah tempat kembali.” (Surah al-Ma’idah: 18)
Pemahaman sebegini dimasukkan ke dalam fahaman Zionis yang menggabungkan ajaran Yahudi dan Nasrani (Kristian) yang menjadi ahli Zionis yang bersekongkol bagi mewujudkan negara haram Israel. Malangnya terdapat dalam kalangan negara Arab dan Islam dipergunakan, bahkan sekadar diperhambakannya.
Terdapat dalam kalangan Yahudi Ortodoks yang dinamakan Naturei Karta menentang agenda Israel yang ganas kerana menjadi sebab akan menguburkan bangsa Yahudi pada akhir zaman nanti. Maka sangatlah malang apabila ada negara yang berbahasa al-Quran mahu dikuburkan bersama Zionis Yahudi dan Kristian.
Allah SWT telah berfirman dalam Bahasa Arab:
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ٥١ فَتَرَى الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ يُسَارِعُونَ فِيهِمْ يَقُولُونَ نَخْشَى أَنْ تُصِيبَنَا دَائِرَةٌ فَعَسَى اللَّهُ أَنْ يَأْتِيَ بِالْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍ مِنْ عِنْدِهِ فَيُصْبِحُوا عَلَى مَا أَسَرُّوا فِي أَنْفُسِهِمْ نَادِمِينَ٥٢﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu menjadi pemimpin-pemimpin kalian, kerana sebahagian daripada mereka menjadi teman rapat kepada sebahagiannya yang lain; dan sesiapa antara kamu yang menjadikan mereka sebagai teman rapat, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim. (51); Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafiq) yang ada penyakit dalam hatinya segera berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata: “Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana (yang memaksa kami meminta pertolongan mereka).” Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya dan umat Islam) atau mendatangkan sesuatu hukuman dari sisi-Nya (terhadap golongan yang munafiq itu); maka sebab itu mereka akan menyesal mengenai apa yang telah mereka sembunyikan dalam hatinya. (52).” (Surah al-Ma’idah: 51-52)
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 17 Jumadal Akhirah 1442 / 31 Januari 2021