Oleh : Prof. Madya Dr Azman Yusof
HIRUK-PIKUK pergolakkan dalam kalangan pimpinan parti politik Melayu sejak akhir-akhir ini amat menyedihkan. Seolah-olah lupa kesengsaraan mereka pada 22 bulan yang lalu apabila kuasa yang ada terlepas.
Lalu naratif perpaduan Melayu-Islam bersimpongan dimainkan dalam media sosial siang dan malam. Ramai orang Melayu yang simpati dan percaya; sanggup ‘move on’ dengan kekhilafan yang dilakukan sebelum ini.
Alhamdulillah, akhirnya Allah SWT mengembalikan semula kuasa tersebut walaupun tidak seperti sediakala.
Sepatutnya hal ini direnungi dan disyukuri. Malangnya, baru sembilan bulan ‘kiambang bertaut’ riak-riak keretakan mula kelihatan. Justeru, sebelum ‘retak menjadi belah’, penulis ingin membawa pembaca menyorot kisah Raja Haji fi sabilillah yang tewas angkara petualang bangsanya sendiri agar dapat direnung dan diambil iktibar.
Yang Dipertuan Muda Raja Ali Haji atau Raja Haji ialah seorang pahlawan Melayu Bugis yang memimpin angkatan perang Riau menggempur dan mengepung Belanda di Melaka pada bulan Februari 1784M.
Nama penuh beliau ialah Raja Haji ibni Daeng Celak yang lahir pada 1725M. Bondanya Tengku Mandak, saudara Sultan Sulaiman. Beliau mempunyai 11 orang anak iaitu empat orang putera dan tujuh orang puteri hasil daripada perkahwinan dengan Puteri Raja Asahan dan Puteri Raja Inderagiri. Putera beliau yang pertama, Raja Jaafar yang menjadi Yang Dipl-Pertuan Muda Riau VI; kedua, Raja Idris; ketiga, Raja Pahang, dan; keempat, Raja Ahmad.
Manakala puteri beliau yang tua, Raja Salamah; kedua, Raja Siti; ketiga, Raja Hamidah atau Engku Puteri; keempat, Raja Buntit; kelima Engku Tengah; keenam, Raja Aminah, dan; ketujuh, Raja Pasir.
Kewibawaan Raja Haji
Kewibawaan Raja Haji mula terserlah apabila beliau menerima gelaran Kelana daripada bapa saudaranya, Daeng Kemboja yang menjadi Yang Di-Pertuan Muda Riau pada ketika itu.
Beliau adalah ‘diplomat’ yang pintar, menjelajah dari satu negeri ke satu negeri yang lain untuk memperluaskan pengaruh. Dengan kebijaksanaannyalah maka Jambi, Inderagiri, Perak dan Kedah jatuh di bawah naungan Riau.
Pada Disember 1778M, Raja Haji telah diangkat menjadi Yang Di-Pertuan Muda Riau IV menggantikan bapa saudaranya Yang Dipertuan Muda Riau III Daeng Kemboja yang mangkat pada 30 Jun 1777M, dalam usia lebih kurang 80 tahun.
Perlantikan baginda sebagai Yang Dipertuan Muda Riau mengeratkan lagi hubungan antara pembesar Melayu dan Bugis kerana darah campuran yang diwarisinya.
Raja Haji mempunyai sifat tegas, keras, berani, cekap menjalankan pemerintahan dan meningkatkan ekonomi serta mahir dalam peperangan di laut. Kesannya, pengaruh beliau semakin meluas hingga ke Pahang dan Johor.
Kebimbangan Kolonial Belanda
Situasi ini membimbangkan Kolonial Belanda di Melaka. Mungkin kerana itulah pada 28 Disember 1778M, P.G. de Bruijn, Gabenor Melaka mengambil langkah diplomasi dengan mengirimkan ucapan tahniah di atas pelantikan tersebut.
Kewibawaannya itu diwarisi daripada bapanya dan juga daripada bapa-bapa saudaranya ‘Upu Berlima’. Beliau menjadikan Kota Piring di Pulau Biram Dewa sebagai pusat pentadbiran kerajaan Riau yang baharu.
Antara tahun 1777–1784M, Riau dari segi geopolitik semakin bertambah luas dan berpengaruh. Kemakmuran dan kestabilan politik pada masa ini membolehkan ekonomi Riau berkembang pesat.
Benih gambir yang dibawa dari pesisir Pulau Sumatera semasa pemerintahan ayahandanya, Yang Di-Pertuan Muda Riau II, Daeng Celak, telah ditanam secara komersial dengan jayanya.
Sejak itu, gambir menjadi hasil perdagangan Riau yang terpenting. Selain itu, cukai bandar perdagangan turut menjadi sumber pendapatan terbesar kerajaan Riau ekoran pertumbuhan pesat pelabuhannya.
Bukti kemakmuran Riau dapat dilihat daripada ramainya pedagang dengan pelbagai jenis alat-alat pengangkutan laut yang berlabuh di pelabuhan. Selain itu, jumlah penduduknya yang ramai iaitu dianggarkan 90,000 orang adalah jumlah yang cukup ramai pada masa itu.
Ukuran lain tentang kemakmuran Riau ialah binaan istananya yang indah dan harga berasnya yang murah.
Kesempatan ini turut digunakan oleh pemerintah Riau bagi memperkuatkan persenjataan angkatan tenteranya.
Selain itu, Riau juga turut dikenali sebagai pusat pengajian agama Islam dan kebudayaan Melayu, termasuk bahasa dan sastera Melayu.
Di bandar Riau terdapat ramai ulama dan pendakwah, baik yang datang daripada India, Timur Tengah dan juga daripada Jawa.
Pendidikan agama mekar seiring dengan kepesatan kegiatan ekonomi. Aktiviti keilmuan yang rancak dapat diperhatikan menerusi karya Raja Ali Haji dalam Tuhfat al-Nafis:
“Dan segala tuan-tuan syed pun banyak datang dari Tanah Arab apalagi lebai Jawa, hingga penuh tumpatlah tempat di rumah, wakaf dan masjid dan segenap surau orang-orang besar dan orang-orang kaya itu.
“Apalagi malam Jumaat berkumpullah ke dalam semuanya maulud Nabi. Maka selesai daripada maulud memberi sedekah, ada yang kena jekketun, ada yang dapat ringgit, ada yang dapat rupiah”.
Krisis dengan Belanda
Pada tahun 1780M satu perjanjian mengenai persahabatan dan keamanan telah ditandatangani antara kerajaan Riau dan V.O.C Belanda yang terdiri daripada 12 fasal.
Salah satu daripada fasal tersebut antara lain berbunyi; “Segala musuh kompeni Belanda dianggap menjadi musuh bagi Raja Riau. Jika ada tahanan atau barang-barang yang disita maka hendaklah ia dibahagi dua antara kompeni Belanda dan Raja Riau.”
Perjanjian ini menjadi bukti bahawa Riau adalah sebuah kerajaan yang kuat dan disegani ketika itu.
Pada tahun 1782M telah terjadi pertelingkahan antara Raja Haji dengan V.O.C Belanda.
Dikatakan beliau tersinggung apabila Belanda menahan dan menyita sebuah kapal Inggeris yang membawa muatan candu sebanyak 1,154 peti tanpa mengagihkannya kepada Riau sebagaimana janji yang telah dimeterai.
Dalam satu serangan di perairan Riau, armada VOC Belanda telah gagal menewaskan angkatan perang Riau.
Ekoran daripada peristiwa itu, pada Februari 1784M Raja Haji bertindak balas dengan menggempur kedudukan Belanda di Melaka.
Hampir setahun lamanya angkatan perang Riau yang dipimpin oleh Raja Haji memerangi dan mengepung kota Melaka sehingga pihak Belanda sudah mula kebuluran dan Kota Melaka hampir jatuh ke tangan Raja Haji.
Askar upahan Belanda
Walau bagaimanapun, bantuan enam buah kapal angkatan laut Belanda yang canggih dengan jumlah askar upahan (baca: peribumi/Melayu) yang ramai iaitu 2,130 orang di bawah pimpinan Jacob Pieter Van Braam daripada Betawi telah datang membantu angkatan Belanda di Kota Melaka.
Akhirnya, Belanda dengan bantuan petualang bangsa telah berjaya mengesan kedudukan Raja Haji yang berada di Teluk Ketapang.
Beliau telah ditembak dalam satu serangan hendap ketika sedang berwirid. Ekoran kematian beliau, angkatan perang pimpinannya tewas kepada Belanda pada bulan Jun 1784M.
Raja Haji yang kemudiannya digelar Marhum Teluk Ketapang merupakan lambang pemimpin bangsa Melayu yang gagah berani. Hal ini dirakamkan oleh cucunya Raja Ali Haji dalam sebuah syair:
Sebelah Melayu di tanah Johor,
Gagah berani sangatlah masyhur,
Menaklukkan raja-raja yang bermohor,
Beberapa ketika masa dan dahur.
Akan tetapi pada waktunya,
Bertemu pula dengan lawannya,
Orang yang naik bintang saudnya,
Gagah berani daripadanya.
Iaitu anak Raja Bugis terbilang,
Lima beradik jadi hulubalang,
Di mana masuk tiadalah malang,
Nama yang mulia tiada hilang.
Riau selepas Raja Haji tidak lagi memiliki ketenteraan yang kuat, dan hal ini mendorong pihak berkuasa Riau lebih berdiplomasi serta mengelak berkonfrontasi dengan Belanda.
Riau bukan lagi sebuah negera yang merdeka sepenuhnya kerana setiap keputusan yang dibuat oleh pemerintah Riau hendaklah dimaklumkan ke pengetahuan Belanda terlebih dahulu.
Kesimpulannya, sejarah bukanlah sekadar paparan sejarah untuk diketahui tetapi ambillah ibrah atau pengajaran sebagai panduan kepada generasi hari ini.
Pergaduhan sesama sendiri apatah lagi sanggup menjadi petualang bangsa demi mengejar cita-cita atau kepentingan peribadi hanya mengundang malapetaka, menjejaskan kestabilan negara dan merugikan bangsa.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Universiti Kuala Lumpur
Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak pada keluaran 15 Januari 2021 |