?? Tadabbur Al Quran ??
Surah As-Saff: Siri 3
Ayat 4 : Seruan Berjihad dalam Barisan yang Kukuh
? Firman Allah serta terjemahannya:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.
? Tafsir ringkas:
1. Ayat keempat ini berkait rapat dengan ayat-ayat sebelumnya, yang mana Allah SWT menegaskan bahawa setiap kata-kata yang diungkap perlulah dilunaskan dan ditepati. Segolongan pengikut nabi SAW telah mendesak agar dibuka medan jihad tetapi apabila datang kefardhuan jihad mereka beralasan pula.
Menurut riwayat oleh Ali bin Talhah daripada Ibn Abbas bahawa sebelum diturunkan kefardhuan dan kewajipan berjihad, segolongan orang beriman telah berangan-angan dan berkata, jikalah Allah tunjukkan kepada mereka sebaik-baik amalan, mereka akan segera beramal dengannya. Lalu Allah SWT memberitahu Nabi Muhammad SAW bahawa amal yang terbaik adalah beriman dengan-Nya tanpa ragu-ragu dan berjihad menentang musuh-Nya. Namun, tatkala diturunkan ayat jihad, segolongan daripada mereka merasa keberatan dan tidak menyukainya. Maka Allah SWT memurkai sikap mereka lalu menurunkan ayat tersebut.
2. Ayat ini menyatakan kecintaan Allah SWT kepada orang-orang yang berjuang dan berjihad di jalanNya dalam keadaan mereka berjemaah dan berorganisasi sebagaimana bangunan yang kukuh dan tersusun kuat. Abu Said Al- Khudri r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Ada tiga jenis orang yang Allah redha kepada mereka iaitu seorang yang mengerjakan solat di malam hari, dan kaum yang apabila solat mereka membentuk barisan dengan teratur, serta kaum yang apabila dalam medan perang mereka membentuk barisan dengan teratur.”
3. Perkataan “saffa” dalam ayat ini yang bermaksud barisan telah diambil sebagai nama kepada surah ini. Ayat ini menggambarkan keadaan orang-orang beriman yang berjihad dalam barisan yang teratur seperti sebuah binaan yang teguh. Perumpamaan ini menunjukkan tabiat agama Islam yang mementingkan kesatuan, menerangkan tuntutan kesatuan dan kerjasama yang perlu diterapkan oleh umat Islam di dalam kehidupan mereka agar saling menguatkan antara satu sama lain, menampung kecacatan yang ada dan menyempurnakan binaan tersebut.
? Pengajaran:
1. Binalah kesatuan dalam kalangan umat Islam kerana kemenangan Islam tidak akan terbina di atas kekuatan individu dan pemerintahan individu tetapi di atas kesatuan umat Islam, keberkatan berjemaah dan penyusunan organisasi dan strategi yang mantap.
2. Mohonlah pertolongan Allah melalui tazkiyyah, taujihat dan tarbiyyah yang istiqamah dan berterusan tatkala diri menjadi lemah.
3. Mukmin haraki dan sejati perlu ada kekuatan aqidah, ukhuwah dan pemahaman yang mendalam terhadap fikrah Islam. Jika tidak, mustahil kesatuan dan kekuatan saff yang digambarkan Al Quran dapat dicapai.
4. Modal utama yang wajib ada pada setiap mukmin adalah quwwatus sillah billah (kekuatan hubungan dengan Allah). Semestinya Dia menjadi tempat kebergantungan yang hakiki.
5. Jika mahu menjadi pejuang yang dicintai Allah SWT , ikatlah diri dengan jemaah Islam yang lengkap elemen organisasinya iaitu jemaah yang mempunyai pemimpin yang thiqah, pengikut yang taat, dasar yang benar dan sistem yang mantap.
6. Sebagai sebahagian daripada batu bata jemaah, peruntukkan sebahagian waktu kita untuk jemaah dan perjuangan. Taati pimpinan, mesti berdisiplin, hadiri mesyuarat-mesyuarat, jalankan amanah yang diberikan, ikuti program -program dan sentiasa bersedia untuk ditarbiyah dan mentarbiyah.
? Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir
Tafsir fi Dzilal Al Quran.
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
15 Jan 2021 / 2 Jamadil Akhir 1442
#baca&sebar
#siritadabbursurahassaff