8 JANUARI 1968 (ISNIN)
PADA hari ini dalam tahun 1968, Malaysia dan Britain telah mencapai persetujuan mengenai pengunduran tentera Britain dari Malaysia. Rancangan pengunduran tentera Britain itu berkait rapat dengan kemerosotan ekonomi yang dihadapi oleh Britain.
Setiausaha Komanwel, Tuan George Thomson memaklumkan, masalah ekonomi itu telah merumitkan Britain untuk menempatkan tenteranya di luar negeri.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak memaklumkan Malaysia memandang berat rancangan pengunduran tentera Britain ini kerana Malaysia dan Britain telah memeterai Perjanjian Pertahanan Tanah Melayu-British pada 13 Oktober 1957.
Berikutan itu, satu persidangan pertahanan lima negara yang terdiri daripada Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan Britain telah diadakan bertujuan membincangkan pertahanan Malaysia dan Singapura dalam menghadapi sebarang pencerobohan setelah pengunduran tentera Britain dari rantau ini kelak.
Skrip: Aliza Minai Rajab / Arkib Negara Malaysia
Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia