Oleh : Ibnu Janie
MASJID TANAH, 3 Jan : Seramai 20 orang peserta Chef Cilik pada masa ini bersedia untuk beraksi memasak menu masing-masing dalam satu pertandingan memasak anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Masjid Tanah yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, pagi ini.
Seramai 20 orang peserta yang terpilih untuk ke peringkat akhir ini akan memasak menu yang telah ditetapkan oleh penganjur di mana 11 orang daripada mereka adalah daripada kategori sekolah rendah dan sembilan lagi daripada kategori sekolah menengah.
Seminggu sebelum ini peserta-peserta ini telah melalui saringan yang memerlukan mereka memuat naik video masakan mereka untuk dinilai oleh juri untuk dipilih bagi memasuki peringkat akhir pada hari ini.
Pertandingan ini menawarkan hadiah mengikut kategori berbentuk wang tunai sebanyak RM500 untuk tempat pertama, RM300 untuk tempat kedua dan RM200 untuk tempat ketiga sementara sagu hati ialah sebanyak RM50.
Program ini dijalankan bersama dengan pertandingan Inang Challenge dan majlis penyampaian bantuan persekolahan sumbangan Yayasan Bank Rakyat peringkat Parlimen Masjid Tanah bagi tahun 2021 ini yang dijadualkan bermula pada jam 10 pagi ini.
Program Chef Cilik dan Inang Challenge ini dirasmikan oleh YB Exco NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Melaka, YB Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen sebentar tadi seusai program kayuhan Fun Ride.
Penyampaian sumbangan bantuan persekolahan bakal disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin yang juga merupakan Ahli Parlimen Masjid Tanah.