Home Berita PAS Melaka

Kalam murabbi DUPNM : Erti jihad

444
SHARE

بسم الله الرحمن الرحيم

JIHAD dari segi bahasa bermaksud kekuatan. Dari segi istilah pula jihad adalah merangkumi setiap perbuatan yang dilakukan secara bersungguh-sungguh memerah keringat demi matlamat menegakkan Islam.

Setelah memahami kepentingan amal dalam dakwah umat Islam, maka amal tersebut akan berhadapan dengan pelbagai cabaran-cabaran luaran dan dalam. Antaranya ialah cabaran menghadapi nafsu, syaitan, Muslim yang tidak faham, munafik, kuffar dan musuh Islam.

Semua itu memerlukan kepada kesungguhan yang tinggi untuk terus beramal dengan sempurna. Dari sinilah jihad diperlukan untuk memastikan amal yang dilakukan berjalan dengan baik.

Firman Allah SWT,

Surah Al Hajj ayat 78

وَجَاهِدُوا فِي اللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِ ۚ هُوَ اجْتَبَاكُمْ وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍۚ

Maksudnya: “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamaNya); dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Berjihadlah ke atas orang kafir dengan tangan dan lidahmu”

HR AHMAD

Salah faham terhadap jihad

Antara salah faham jihad adalah memahami bahawa jihad dalam bentuk peperangan sahaja. Pemikiran ini sengaja diwujudkan oleh orientalis untuk menggambarkan bahawa Islam adalah agama yang ekstrim dan menggemari keganasan.

Pengertian jihad sebenarnya lebih luas daripada apa yang digambarkan di atas. Ia meliputi setiap jenis kesungguhan yang dilakukan atas tujuan menegakkan Islam di muka bumi ini termasuklah ceramah, mengajar, menegur pemimpin, menulis, belajar agama dan sebagainya.

Musuh-musuh dakwah

Antara musuh-musuh dakwah yang perlu dihadapi dengan jihad ialah seperti berikut:-

1) Mukmin yang dengki dengan mereka

– Dalam perjuangan menyatakan kebenaran ini, semua orang yang berniat jahat akan memusuhinya, termasuklah dalam kalangan orang Islam sendiri. Mereka tidak mahu kebenaran tertegak kerana sudah tentu mereka tidak dapat melakukan kejahatan selepas ini. Oleh itu, jihad diperlukan untuk berhadapan dengan mereka samada dengan berhujah, menegur dan berdoa supaya mereka kembali ke pangkal jalan.

2) Munafiq yang membenci mereka

– Islam akan sentiasa berhadapan dengan musuh dalam selimut yang menyamar sebagai sebahagian daripada kita, tetapi merosakkan Islam dari dalam. Kita perlu mempelajari sifat-sifat munafiq yang diceritakan dalam Al Quran serta sirah Rasulullah agar lebih berhati-hati daripada golongan ini.

3) Kuffar yang memusuhi mereka

– Ini adalah musuh yang paling nyata umat Islam. Misi mereka hanyalah untuk memadamkan cahaya Islam di atas muka bumi ini.

4) Syaitan yang menyesatkan

– Hakikatnya, syaitan adalah penyebab keempat-empat musuh ini wujud. Tanpa Iblis dan syaitan, semua manusia pasti tidak akan sesat. Mengenali syaitan adalah suatu kemestian dan berjihad menentangnya adalah suatu kewajipan.

5) Hawa nafsu yang melawan mereka

– Nafsu adalah komponen tubuh badan manusia. Asalnya adalah suci bersih, tetapi sekiranya tidak diisi dengan cahaya Al Quran dan ibadah, ia akan menjadi anak didik syaitan yang menyeru ke arah kejahatan.

Justeru itu, marilah sama-sama kita menjauhkan diri daripada musuh-musuh dakwah dengan jihad. Fahami dengan baik konsep jihad yang sebenar agar tidak disalahertikan. Persiapkanlah diri berjihad menentang musuh-musuh yang benci kepada Islam khususnya di Malaysia agar golongan mereka tidak menjadi pemimpin yang berkuasa.

Moga bermanfaat!

Rujukan: Nadi Perjuangan

USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
-Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka
-Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka
-Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah

Sumber : Ihsan Facebook Dewan Ulamak PAS Melaka