Oleh : Ibnu Janie
MASJID TANAH, 18 Dis : Jika semalam Melaka mencatat rekod kes Covid-19 tertinggi semenjak wabak ini mula merebak dengan mencatat 98 kes, hari ini ia meningkat lebih tinggi dengan mencatat 140 kes pula!
Demikian dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka di laman Telegram rasminya sebentar tadi.
Mengikut laporan tersebut daripada 140 kes itu, 139 dikesan di Mukim Machap Daerah Alor Gajah, daripada kes saringan di Depoh Tahanan Imigresen, Kluster Jalan Harapan, di mana 111 daripadanya adalah kes import B manakala 28 lagi adalah jangkitan tempatan.
Menurut laporan itu lagi, satu lagi kes dikesan di Mukim Cheng, Daerah Melaka Tengah, daripada kes jangkitan tempatan saringan kontak rapat kes positif Selangor.
Sebanyak 292 kes masih dirawat di Hospital Melaka, dan tiada kes ICU atau kes sembuh baharu dilaporkan untuk hari ini, kata laporan itu lagi.
Laporan itu juga menyatakan mukim Jasin (106 kes) masih dikategorikan sebagai zon merah, Machap (30 kes) kini dikategorikan sebagai zon Jingga, sementara tujuh mukim lagi dikategorikan sebagai zon kuning hari ini iaitu mukim Sungai Baru Ulu (1 kes), Batu Berendam (1 kes), Bukit Piatu (3 kes), Cheng (1 kes), Kandang (4 kes), Tanjung Minyak (5 kes), dan Sebatu (2 kes).
Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 1683 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor mencatat kes tertinggi iaitu sebanyak 692 kes dan diikuti oleh Sabah yang mencatatkan 260 kes.
Laporan itu juga menyatakan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Perlis.