18 DISEMBER 1981
PADA hari ini dalam tahun 1981, Institut Teknologi Mara (ITM) mengumumkan keputusan Kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran mengenai pengiktirafan Diploma Undang-undang ITM yang diperkenalkan pada tahun 1979 setaraf dengan Ijazah Am daripada universiti-universiti yang diiktiraf.
Dengan pengiktirafan kursus yang mula diperkenalkan pada tahun 1979 ini bermakna satu lagi diploma lulusan ITM mendapat pengiktirafan oleh Kerajaan setaraf dengan Ijazah Am. Tiga lagi kursus yang telah mendapat pengiktirafan ialah Diploma Sebaran Am, Diploma Sains Perpustakaan dan Diploma Senilukis dan Senireka.
Kursus Diploma Undang-undang ini juga akan dijalankan di dalam bahasa Malaysia mulai tahun 1983. Pada masa ini ianya dijalankan dalam bahasa Inggeris.
Selain daripada itu, Universiti Merbourne, Australia memberi kebenaran kepada lepasan diploma tersebut untuk melanjutkan pelajaran di universiti berkenaan di peringkat ijazah pada tahun akhir.
Sesungguhnya pengiktirafan tinggi yang diberikan oleh Kerajaan terhadap lulusan Diploma Undang-undang ITM membuktikan kejayaan ITM bukan sahaja dalam bidang pendidikan tetapi juga dalam menghasilkan kaum Bumiputera yang terpelajar dan terdidik.
Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia