Oleh : Ibnu Thabit
ALOR GAJAH, 17 Dis : “Amat terkesan dijiwa ini bilamana kita melihat pengorbanan seorang anak yang menjaga ibunya yang terlantar di atas katil kerana keuzuran.
“Suatu masa nanti kita juga akan berada di tempat si anak yang menjaga ibunya itu dan mungkin di situasi ibunya yang sedang keuzuran.”
Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Alor Gajah, Ustaz Syahbudin Senin berkata demikian kepada Wartawan Rakyat Melaka (WARM) ketika menghadiri Program Ziarah Kasih Gadek anjuran Jentera Pilihan Raya Dun (JPrD) PAS Rembia, di sini, kelmarin.
Dalam program tersebut Ustaz Syahbudin menyampaikan sumbangan berbentuk kit makanan asas di Kampung Rumbia, Alor Gajah kepada Robiah Nordin, 73 yang kini terlantar kerana keuzuran dan Mariani Ibrahim, 46 yang kini tinggal keseorangan.
Penerima-penerima sumbangan yang ditemui turut mengucapkan terima kasih kepada JPrD PAS Rembia atas sumbangan ini yang menurut mereka sedikit sebanyak meringankan bebanan yang ditanggung mereka selama ini.
Program ziarah ini turut disertai oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Alor Gajah, Rosela Alwi, Setiausaha PAS Kawasan Alor Gajah, Syahmi Satar dan Pengarah JPrD PAS Rembia, Ustaz Muhammad Hatin Mohd Yusof.