Home Berita PAS Perlis

Jangan Jadi Golongan Yang Menyesal Di Akhirat

724
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : Umat Islam diingatkan agar sentiasa memelihara segala tindak tanduknya ketika hidup kerana apa sahaja yang dilakukan ketika hidupnya akan dipersoalkan di akhirat nanti.

Demikian ingatan yang disampaikan oleh Mursyidul Am PAS Dato Tuan Guru Hj. Hashim Jasin ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Institusi Pendidikan PAS Perlis 2020 di Hotel Seri Malaysia, dekat sini semalam.

Rasulullah SAW sendiri ujarnya, mengingatkan para sahabat berkenaan kepentingan menjaga amalan manusia menerusi kisah seorang pengembala kambing, ketika menyampaikan khutbah pertama sebaik sahaja tiba di Madinah dalam peristiwa Hijrah.

“Dalam kisah tersebut, pengembala itu dipanah petir lalu meninggal dunia, maka ketika Allah bertanya dengannya tentang bekalan apa yang dibawanya, lantas dia pandang ke kiri kanan.

“Namun, dia tak menjumpai satu pun amalan kebajikan yang dia kerjakan semasa hidupnya, kemudian dia melihat di hadapannya ada api neraka.

“Ini menunjukkan bahawa setiap apa yang kita lakukan sepanjang hayat kita, akan dipersoalkan oleh Allah di kemudian hari,” jelasnya.

Justeru katanya, nikmat kehidupan yang dikurniakan oleh Allah ini amat perlu disyukuri dengan cara melipatgandakan amalan sebagai bekal menuju ke akhirat nanti.

Umat Islam juga tambahnya, perlu berusaha mengelakkan diri daripada tergoda dengan bisikan taghut yang bermatlamatkan menyesatkan manusia daripada jalan kebenaran.

“Allah hantar para nabi dan rasul untuk menyeru kita beribadat, melaksanakan amar makruf nahi mungkar dan mengelakkan diri daripada taghut.

Ini menunjukkan bahawa manusia perlu mendapat bimbingan agar akal yang terhad yang ada pada kita ini tidak diselewengkan (oleh bisikan taghut),” katanya.