Home Berita PAS Melaka

Ammar Luthfi tokoh pelajar PASTI Ar Rahman 2020

1773
SHARE

Oleh : Sumayyah Ahmad

MASJID TANAH, 6 Dis : Adik Ammar Luthfi Mohd Ayatullah Hadi, 6, telah dinobatkan sebagai Tokoh Pelajar dan menerima anugerah Mumtaz sempena Hari Graduasi Cilik dan Penyampaian Hadiah PASTI Pra-Tahfiz Ar-Rahman (PPTAR) Pengkalan Balak 2020, yang berlangsung di Kompleks Falak Al Khawarizmi, Tanjung Bidara, semalam.

Ammar, murid bagi Kelas 6 tahun, berasal dari Ramuan China Besar, Masjid Tanah ini bercita-cita untuk menjadi seorang Inspektor Polis dan ingin menjadi Muslim yang berjaya di dunia dan akhirat.

Dengan penganugerahan ini, adik Ammar turut membawa pulang sebuah basikal dan sebuah piala iringan sabagai tanda penghargaan daripada pihak PPTAR.

Selain itu dalam majlis yang sama beberapa anugerah lain turut diberikan kepada beberapa orang murid lain dalam beberapa kategori.

Anugerah Projek Aulad (projek tanaman) diberikan kepada adik Nur Zara Hanania Khairul Nizam dengan membawa pulang sebuah beg dan piala iringan.

Anugerah Mumtaz bagi Kategori 5 Tahun diberikan kepada adik Khadeejah Mohd Mazran, manakala Anugerah Mumtaz bagi Kategori 4 Tahun pula milik adik Aimi Mahfuzah Mohd Firdaus.

Turut disampaikan beberapa anugerah lain iaitu Anugerah Celik Minda, Anugerah Sahsiah, Anugerah Al Quran, Anugerah Membaca dan Anugerah Celik CERDAS.

Sementara itu seramai 29 orang murid-murid daripada Kelas 6 Tahun menerima sijil tamat persekolahan dan cenderahati tanda kenangan menandakan berakhirnya tempoh pengajian mereka di peringkat pra-sekolah di PASTI ini.

Murid-murid ini akan meneruskan pengajian di sekolah rendah pilihan ibu bapa masing-masing pada tahun hadapan.

Jurucakap PASTI Ar-Rahman berkata program sebegini sedikit sebanyak memberi suntikan semangat kepada murid-murid dan ibu bapa dalam terus memperkasakan nilai ilmu dan pendidikan yang berterusan.

Program graduasi yang dirasmikan oleh Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman ini berlangsung dengan pematuhan SOP dan norma baharu dalam dua sidang iaitu Sidang-1 untuk murid enam tahun dari pukul 8.30 hingga 9.45 pagi sementara Sidang-2 pula untuk murid empat dan lima tahun yang bermula dari pukul 10 hingga 11 pagi.