PADA hari ini 14 November dalam tahun 1981, Projek Pembangunan Pertanian Berpadu Negeri Melaka telah dilancarkan dengan rasminya oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Musa Hitam bertempat di Jasin, Melaka.
Turut hadir di majlis pelancaran tersebut ialah Menteri Pertanian, YB Dato’ Abdul Manan bin Othman, YAB Encik Mohd Adib bin Hj. Mohd Adam, Ketua Menteri Negeri Melaka dan pembesar negeri.
Di majlis ini YAB Datuk Musa Hitam mengajak seluruh kaum tani di negara ini supaya berikrar untuk berusaha sedaya-upaya ke arah mencapai kemerdekaan diri daripada belenggu kemiskinan.
Untuk itu beliau mahukan setiap orang petani kecil mengubah sikap meninggalkan amalan pertanian tradisional dan bekerja keras di sawah dan ladang untuk meningkatkan pengeluaran dan menambahkan pendapatan.
Serentak dengan itu beliau juga mengarahkan semua jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat dengan usaha-usaha pembangunan pertanian supaya memastikan projek-projek yang dipertanggungjawabkan kepada mereka dilaksanakan dengan sepenuhnya bagi menjamin tercapainya matlamat ikrar kaum tani tersebut.
Setiap pegawai yang terlibat hendaklah berusaha sedaya upaya untuk menjamin projek-projek tersebut dapat dibawa kepada rakyat dalam jangka waktu yang ditetapkan.
Di bawah Rancangan Pembangunan Pertanian Berpadu ini kerajaan tidak lagi akan hanya menumpukan kepada peningkatan pengeluaran dari segi dilaksanakan tanaman sahaja bahkan juga akan memberi keutamaan yang seimbang kepada penghidupan petani dan alam sekitarnya.
Dengan cara ini ia bukan sahaja akan dapat meningkatkan lagi pendapatan para petani bahkan juga akan melindungi mereka daripada akibat-akibat buruk kejatuhan barangan utama seperti padi, getah, kelapa sawit, koko dan sebagainya.
Kredit sumber : Arkib Negara Malaysia