Oleh : Siti Hajar
HANG TUAH JAYA, 3 Nov : Berhubung isu penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW di negara Perancis yang tular belakangan ini, Pertubuhan Sahabat Masjid Negeri Melaka mengajak seluruh umat Islam untuk bersatu mempertahankan kesucian dan maruah agama Islam daripada diperlekehkan.
Pengerusi Pertubuhan Sahabat Masjid Negeri Melaka, Abdul Muiz Ab Rahman bertindak menyuarakan kebimbangan beliau dalam satu kenyataan media menerusi laman Facebook pertubuhan itu pada hari ini.
“Hentikan perbalahan furu’ antara mana-mana kelompok dan perteguhkanlah ikatan persaudaraaan sesama Muslim agar kesatuan ini dapat menggerunkan kelompok musuh di luar sana.
“Umat Islam mestilah meletakkan keutamaan ummah sebagai asas perpaduan bagi memastikan keharmonian negara dapat dikekalkan.”, demikian kata beliau dalam hantaran Facebook tersebut.
Dengan itu, beliau menyeru orang ramai agar memboikot produk-produk daripada negara Perancis serta meminta masyarakat Muslim di Malaysia untuk mengekalkan kesatuan supaya dapat memberi pengajaran terhadap mereka yang mempermainkan kesucian agama Islam.
Untuk rekod Presiden Perancis, Emmanuel Macron sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan Islam sebagai agama pemisah serta menyokong karikatur hina Nabi yang dianggap sebagai hak kebebasan bersuara telah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.