Oleh : Ibnu Janie
HANG TUAH JAYA, 1 Nov : Hajah Kintan Man, 61, menyifatkan penganugerahan pingat kepada aktivis-aktivis PAS Melaka akan meningkatkan ‘izzah’ PAS yang kini berada dalam kerajaan negeri dan pusat.
“Terima kasih atas penganugerahan ini. Sesungguhnya ia melambangkan pengiktirafan kepada Dewan Muslimat PAS khasnya dan kepada PAS itu sendiri amnya.” kata Hajah Kintan ketika ditemubual Wartawan Rakyat Melaka (WARM).
Hajah Kintan berkata demikian selepas menerima anugerah pingat Bintang Khidmat Terpuji (BKT), sempena sambutan Hari Jadi yang ke 71, Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Hj Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Seri Negeri di sini pagi tadi.
Beliau yang kini merupakan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka (DMPNM) ini dilahirkan pada 1 Mac 1959, anak jati Serkam Melaka dan kini masih menetap di situ.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Dang Anum dan Melaka High School ini juga adalah Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Jasin (DMPKJ) dan Pengerusi bersama Jawatankuasa Wanita Muafakat Nasional (MN) Kawasan Jasin.
Penglibatan beliau di dalam politik bukan sekadar di peringkat PAS Negeri Melaka malah beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Lujnah Pekerja dan Pengguna, Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) semenjak tahun 2017 sehingga kini.
Beliau pernah menggalas amanah besar untuk bertanding mewakili PAS dalam dua kali Pilihan Raya Umum (PRU) iaitu pada PRU ke 13 di DUN Sungai Rambai dan pada PRU ke 14 di DUN Rim.
Pingat Bintang Khidmat Terpuji (BKT) yang diterima Hajah Kintan ini mula dikurniakan pada tahun 1962 kepada orang perseorangan yang mempunyai sikap taat setia dan tata kelakuan yang terpuji namun pingat ini tidak membawa sebarang gelaran.