Home Berita PAS Selangor

Penghinaan Ke Atas Nabi : Sikap Kita Terhadap Orang Kafir – Kredit Coretan Dari Negeri Selangor

1303
SHARE

Oleh : Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

▪️Pengenalan

Hubungan orang Islam terhadap orang kafir atau non muslim mempunyai perbincangan yang khusus dan terperinci. Ia berbeza dari sudut dakwah, sikap mereka dan ruangan syariat serta aqidah yang diperbahaskan apabila melibatkan hubungan sesama mereka.

Islam agama yang muktadil serta wasatiyah. Tidak melampaui kesempitan sehingga menutup ruang potensi dakwah. Serta tidak juga melampaui batasan sehingga menggadai prinsip beragama dan dipijak maruah Islam oleh orang kafir.

Kesemuanya memerlukan kefahaman ilmu yang sahih dan konteks realiti yang dipotensikan dengan menjaga Islam serta membuka ruang dakwah.

Masalah yang berlaku, apabila terdapat pihak yang terlalu lunak terhadap orang kafir dengan beralasan dakwah namun tiada ketegasan diperlihatkan sehingga isu penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW berulang saban waktu.

▪️Hubungan Dengan golongan kafir

Perkataan non muslim yang digunakan pada hari ini sinonim ke atas golongan kafir iaitu mereka yang bukan beragama Islam. Non muslim ini terbahagi kepada 4 golongan iaitu :

1- Harbi iaitu golongan non-muslim yang memusuhi Islam dan memerangi Islam. Maka umat Islam wajib memeranginya dan mempertahankan Islam daripada serangan-serangan yang dilakukan. Maka mereka diperangi disebabkan mereka mereka zalim dan memerangi Islam.

2- Zimmi iaitu golongan non-muslim yang menetap di negara Islam dan mereka bernaung di bawah pemerintahan Islam. Golongan ini diberikan hak perlindungan dan mendapat keistimewaan sebagaimana masyarakat Islam selama mana mereka menjalankan tanggungjawab mereka dan tidak memberikan ketaatan kepada musuh Islam. Maka non-muslim zimmi ini merupakan rakyat di dalam Negara Islam.

3- Mu’ahad iaitu golongan non-muslim yang mengadakan perjanjian dengan pihak Islam. Maka dijaga hak mereka selama mana mereka tidak mencabuli perjanjian yang telah dipersetujui. Sebagaimana perjanjian Hudaibiyah antara pihak Islam dengan pihak musyrikin Mekah.

4- Musta’man ialah golongan non-muslim yang datang meminta perlindungan daripada pihak Islam. Maka sepanjang persetujuan diadakan dan mereka tidak berpaling tadah, maka hak-hak mereka dijaga. Dalam konteks hari ini, pelancong daripada kalangan non-Muslim yang datang ke Negara Islam di kira non-muslim musta’man atas keizinan cop visa pelancong.

Maka golongan lafir yang diperangi bukanlah disebabkan mereka itu iktiqad kekufuran mereka namun disebabkan sikap mereka yang memerangi Islam dan memusuhi Islam. Justeru, antara 4 golongan non-muslim tersebut hanya golongan kafir harbi sahaja yang diperangi kerana mereka memerangi Islam. Bahkan ALLAH SWT tidak melarang kepada mana-mana orang Islam untuk melakukan kebaikan dan keadilan ke atas golongan kafir selagimana mereka tidak memerangi Islam.

Firman ALLAH SWT :

لَّا یَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِینَ لَمۡ یُقَـٰتِلُوكُمۡ فِی ٱلدِّینِ وَلَمۡ یُخۡرِجُوكُم مِّن دِیَـٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوۤا۟ إِلَیۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِینَ

Maksudnya : “ALLAH tidak menghalang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak menghalau kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya ALLAH mengasihi orang yang berlaku adil.” – Surah al-Mumtahanah : 8

Adapun larangan ALLAH SWT ialah bekerjasama dengan pihak yang melakukan kezaliman, kerosakan dan pengkhianatan.

Firman ALLAH SWT :

إِنَّمَا یَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِینَ قَـٰتَلُوكُمۡ فِی ٱلدِّینِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِیَـٰرِكُمۡ وَظَـٰهَرُوا۟ عَلَىٰۤ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن یَتَوَلَّهُمۡ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

Maksudnya :“Sesungguhnya ALLAH melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu serta membantu untuk mengusir kamu. Dan ingatlah sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang yang zalim.” – Surah al-Mumtahanah : 9

Serta Firman ALLAH SWT dalam membantu sesiapa sahaja secara umum sekalipun golongan kafir selagi atas dasar kebajikan bukan pada dosa dan permusuhan :

وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَ ٰ⁠نِۚ

Maksudnya : “Hendaklah kamu saling bertolong menolong dan bekerjasama atas dasar kebaikan dan ketaqwaan dan jangan kamu bekerjasama dan membantu atas dasar dosa (perkara maksiat) dan permusuhan.” – Surah al-Maidah : 2

▪️Menjaga Agama : Dakwah Dan Tegas

Para ulama menyatakan bahawa agama Islam itu terbahagi kepada 3 eleman utama iaitu akidah, syariat dan akhlak. Dalam agama dibahagikan peringkat-peringkatnya berdasarkan kepada hadis berkenaan Jibrail ‘alaihissalam datang menemui Nabi Muhammad SAW untuk mengajarkan para sahabat berkenaan dengan agama iaitu Islam, iman dan ihsan.

Justeru, menjaga agama ini merujuk kepada 2 perkara iaitu :

  1. Memastikan agama Islam terus wujud
  2. Mempertahankan agama Islam daripada hilang

Cara untuk memastikan agama Islam terus wujud adalah dengan 3 cara :

  1. Beramal dengan agama Islam samada dari sudut akidah dan amalan.

Islam tidak memadai dengan hanya mempercayai akan sesuatu hukum namun ia tidak diamalkan seperti mempercayai menutup aurat merupakan suatu kewajipan namun tidak menutup aurat. Bahkan tidak juga melakukan sesuatu amalan namun dalam hati tidak mempercayainya. Maka beramal dengan kewajipan ini ialah dengan melaksanakan rukun-rukun Islam, melakukan perkara-perkara yang wajib samada fardhu ain atau fardhu kifayah begitu juga meninggalkan larangan haram.

  1. Melaksanakan perundangan Islam.

Islam merupakan perundangan yang tertinggi melebihi segala-galanya. Justeru, untuk melaksanakan perundangan Islam ini maka umat Islam mestilah meyakini bahawa hanya ALLAH SWT pemutus keputusan dalam sesuatu perkara.

Firman ALLAH SWT :

(فَلَا وَرَبِّكَ لَا یُؤۡمِنُونَ حَتَّىٰ یُحَكِّمُوكَ فِیمَا شَجَرَ بَیۡنَهُمۡ ثُمَّ لَا یَجِدُوا۟ فِیۤ أَنفُسِهِمۡ حَرَجࣰا مِّمَّا قَضَیۡتَ وَیُسَلِّمُوا۟ تَسۡلِیمࣰا

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad), mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” – Surah al-Nisa’ : 65

  1. Menyebarkan seruan dakwah.

Islam tidak memadai sekadar dilaksanakan di kawasan setempat bahkan ia mesti disebar luaskan kerana Islam adalah untuk semua manusia tanpa mengira bangsa, kaum dan tempat. Bahkan seruan dakwah ini adalah bagi memastikan manusia dalam keadaan yang harmoni dengan konsep menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Firman ALLAH SWT :

(كُنتُمۡ خَیۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ

“Sesungguhnya kamu adalah umat yang terbaik dikeluarkan kepada manusia untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran serta beriman kepada ALLAH SWT.” – Surah Ali Imran : 110

Cara untuk mempertahankan agama Islam daripada hilang adalah dengan 5 cara :

  1. Berjihad di jalan ALLAH SWT.

Mempertahankan agama Islam daripada serangan pihak musuh serta menaikkan kalimah ALLAH SWT dalam memenangkan Islam.

Firman ALLAH SWT :

وَقَـٰتِلُوهُمۡ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتۡنَةࣱ وَیَكُونَ ٱلدِّینُ لِلَّهِۖ فَإِنِ ٱنتَهَوۡا۟ فَلَا عُدۡوَ ٰ⁠نَ إِلَّا عَلَى ٱلظَّـٰلِمِینَ

“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi berlakunya fitnah dan sehingga (menjadikan) agama itu semata-mata kerana ALLAH SWT.” – Surah al-Baqarah : 193

Ulama membahagikan jihad itu kepada 4 bentuk iaitu berjihad melawan hawa nafsu, bisikan syaitan, menentang pihak kafir dan munafiq, dan menentang kezaliman, perkara bid’ah yang terlarang serta kemungkaran.

  1. Menghalang gejala murtad.

Melaksanakan hukuman bunuh ke atas orang yang murtad selepas mana mereka enggan untuk bertaubat dalam tempoh yang diberikan. Hal ini demikian kerana orang yang murtad merupakan mereka yang khianat dengan agama bahkan menjadi musuh Islam kerana dengan kemurtadan mereka secara tidak langsung akan menyebabkan masyarakat awam syak dengan agama Islam.

  1. Mencegah aktiviti bid’ah yang terlarang. Hal ini demikian kerana bid’ah yang terlarang merupakan perkara yang direka-reka di dalam agama sekaligus menjadikan masyarakat menyeleweng daripada ajaran yang sebenar tanpa disedari.
  2. Menjauhi segala perkara maksiat dan yang mendatangkan dosa. Sesungguhnya dosa dan maksiat merupakan penghalang kepada hubungan manusia dan ALLAH SWT.

▪️Penghinaan Ke Atas Nabi SAW Adalah Satu Serangan Jahat

Tindakan menghina atau fitnah merupakan serangan jahat kerana akan merosakkan kerukunan hidup masyarakat yang sepatutnya hidup harmoni. Islam sebagai agama terunggul sendiri melarang umatnya menghina agama lain sekalipun Islam cukup bertegas bahawa kebenaran hak eksklusif milik Islam manakala agama selainnya adalah batil. Namun tindakan dengan menghina atau fitnah tetap dilarang kerana implikasinya akan menyebabkan permusuhan dan suasana yang tidak baik.

Firman Allah SWT :

وَلَا تَسُبُّوا۟ ٱلَّذِینَ یَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَیَسُبُّوا۟ ٱللَّهَ عَدۡوَۢا بِغَیۡرِ عِلۡمࣲۗ

Maksudnya : “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.” – Surah al-An’am : 108

Malah sewajarnya tindakan tegas dikenakan ke atas mereka yang melakukan penghinaan ke atas agama Islam termasuklah menghina dan menfitnah Nabi Muhammad SAW. Ini kerana kes penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW menerusi karikatur saban waktu dilihat sering berlaku. Malah bukan hanya di Malaysia tetapi di luar negara juga.

Ia bagaikan terancang dan seakan mahu menguji sensitiviti umat Islam. Namun dalam konteks dalam negara Malaysia sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam agama Persekutuan dalam Perkara 3 (1) perlu mempertahankan kesucian agama Islam dari sebarang serangan termasuk tindakan penghinaan. Ini termasuk dalam menjaga agama iaitu حفظ الدين sebagaimana yang dibincangkan di atas dalam displin ilmu maqasid syariah.

Menjadi kesilapan apabila hanya beralasan dakwah ke atas orang kafir secara umun tanpa bertegas pada serangan mereka. Walhal telah diketahui 3 golongan kafir iaitu zimmi, musta’man dan mu’ahad inilah konteks dakwah yang meluas.

Namun pada kafir harbi atau yang memiliki sikap dan tindakan melakukan serangan jahat ini maka sikap dan pendirian kita terhadap mereka adalah mempertahankan kesucian agama dengan :

  1. Bertegas pada prinsp.
  2. Menghilangkan serangan agar tidak mempengaruhi masyarakt umum.
  3. Hukuman yang berat agar sikap sedemikian tidak akan mengulangi.

Malah jika penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW dilakukan oleh orang beragama Islam maka dia dihukum murtad dan dijatuhkan hukuman bunuh sekalipun bertaubat sebagaimana antara pandangan ulamak mengenai hal ini.

Abu Bakar al-Farisi yang merupakan salah seorang ulama bermazhab al-Syafie berkata: “Barangsiapa yang menghina Nabi SAW seperti menuduh beliau secara nyata maka dia dihukum kafir dengan sepakat ulama, sekalipun dia bertaubat tetap tidak akan gugur hukuman bunuh yang telah ditetapkan ke atasnya.” Lihat kitab Fath al-Baari (12/348) oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani.

Adapun bagi tindakan penghinaan yang dilakukan oleh orang kafir, maka tidak terkecuali tindakan tegas agar tidak merosakkan masyarakat umum dengan terpengaruh.

Dr Raghib as-Sirjani dalam kitabnya yang diterjemahkan iaitu “Interaksi Rasulullah SAW Dengan Non Muslim” menyatakan bahawa sikap kita terhadap orang kafir dilihat pada sikap kafir tersebut. Ia dibahagi kepada dua kelompok :

Orang kafir yang menentang Islam kerana memusuhi disebabkan kelentingan tertentu. Ini mesti bertegas.
Orang kafir yang melawan Islam kerana jahil dan terpengaruh. Ini penekanan fokus dakwah yang luas.

▪️Penutup

Telah berlaku banyak kes dalam isu penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW walaupun di dalam negara Malaysia ini. Antara perkara yang perlu difikirkan mengapa hal ini kerap terjadi bahkan secara terang-terangan!

Antara perkara yang menjadi kebarangkalian ialah :

  1. Kekurangan pendakwah dalam mendekati golongan kafir dalam memberikan keterangan Islam.
  2. Kurang dimanfaatkan akses penyampaian maklumat oleh media dan saluran yang dimiliki oleh pihak kerajaan untuk kegunaan dakwah dan menembusi dunia kalangan orang kafir.
  3. Kurang ketegasan pada hukuman yang memberikan kesan bagi mencegah dan menakutkan kalangan kafir yang mempunyai perancangan memusuhi Islam.
  4. Wujudnya kalangan orang Islam sendiri yang berkomplot dengan strategi jahat orag kafir yang memusuhi Islam menjadi “tali barut” yang melemahkan umat Islam.

Justeru, setiap kelemahan dan faktor kebarangkalian di atas mesti diselesaikan satu persatu agar kekuatan kesatuan ummah dapat memelihara kesucian dan kemulian Islam dari dirobek oleh tindakan jahat yang terancang ini.

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#MediaPASSelangor