Oleh : Zurk Ahmad
“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah dan lipat gandakanlah kesabaran kalian dan kuatkanlah ikatan kalian dan bertaqwalah kepada Allah nescaya kalian akan beroleh kemenangan”(Ali Imran: 200)
Ayat ini mengingatkan bahawa bersabar atas ketetapan Allah disaat kita sedang berada dalam pengharapan itu amat penting. Memilih yang baik diantara yang buruk itu sukar. Memilih yang baik diantara yang baik itu jauh lebih sukar. Mungkin kita pernah mengalami keadaan dimana berada dalam satu pilihan, tetapi tidak berdaya untuk memilih, maka apa yang harus dilakukan adalah BERSABAR, PERCAYA DAN REDHA pada ketetapan Allah.
Kita harus kuatkan kesabaran tersebut, istiqomah dalam kesabaran dan serahkan segalanya kepada Allah mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan mereka yang bertaqwa.
Allah memberikan motivasi melalui firman-Nya ini dengan memperlihatkan perintah yang jelas agar tidak mudah berputus asa dan menguatkan kesabaran serta bersiap untuk terus mara. Sabar bukan hanya dalam menerima segala keputusan yang kita tidak sukai malah sabar juga menyentuh akan sikap dan peribadi kita dalam menempuh ujian, tohmahan dan godaan dunia. Lumrah perjuangan yang pastinya ada mehnah dan tribulasi itulah yang dilalui oleh para anbia dan syuhada terdahulu.
Perjuangan ini perlukan tahap kesabaran yang tinggi.
Perkataan sabar ini pastinya mudah disebut namun sukar dipraktikkan. Marilah kita sama-sama membersihkan jiwa dan mendekatkan diri kepada Sang Pencipta. Melantunkan alunan doa yang sungguh-sungguh, memohon agar segala macam ujian pada hari ini dapat diselesaikan dengan baik. Ingatlah sabar juga adalah senjata berkesan untuk memastikan perjuangan Islam yang kita dokong ini berjaya lantaran ia adalah asas memohon nusrah daripada Allah.
“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Allah swt) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.”(al-Baqarah: 153)
Meskipun umum melihat orang yang bersabar seperti orang yang kalah dan lemah. Namun kita yakin kesabaran kita berasas dan berdasarkan tindakan secara jamaie akan beroleh keberkatan.
“Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti.” (al-Anfal: 65).
Sikap sabar akan membuatkan seseorang itu tidak akan menyerah kalah kepada keadaan sukar yang terjadi dalam perjuangan. Sabar menjadi senjata paling ampuh dan paling tajam disamping menjadi perisai untuk menumpaskan segala rintangan dihadapan. Dengan bersikap sabar kita akan tenang dan mampu berfikir rasional dimana dapat mencari alternatif-alternatif lain sebagai jalan keluar demi merealisasikan kejayaan sebuah perjuangan.
Ingatlah sahabat dalam pada kita ghairah membantu, membawa syiar dan memartabatkan sayap parti, kita juga harus bersabar dan bersedia menerima teguran dalam setiap tindakan agar kerja buat kita mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah swt serta mengelakkan fitnah yang lebih buruk kepada Jemaah.
Kesimpulannya sabar boleh didefinisikan sebagai redha, tenang, teguh, dan yakin. Sabar bukan bererti diam dan menyerah. Oleh itu, orang yang diam dan menyerah amat berlawanan dengan definisi sabar. Rasulullah saw adalah orang yang paling sabar dan sentiasa bersabar tetapi beliau tetap berperang. Beliau tenang saat menghadapi tekanan dan yakin bahwa kemenangan akan dicapai dengan bantuan Allah swt.
Jom jadi pemuda yang PENYABAR.
Zurk Ahmad
9 Rabiul Awal 1442H | 26 Oktober 2020
Isbiru
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#MediaPASSelangor
#demiIslam
#beramalkeranaAllah
#KekalTenang
#DaulatTuanku
#MalaysiaSejahtera
#kamipemudaPAS
#PemudaPAS
#memimpinnegara