PADA 19 Oktober lepas Melaka mencatatkan kes harian sebanyak 16 kes, antara yang tertinggi dalam sejarah semenjak tersebarnya wabak itu di Negeri Melaka ini. Ia merupakan satu kejutan kepada kita semua seluruh rakyat Melaka.
Beberapa hari lepas juga saya ada terbaca satu hantaran di Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Melaka yang mendedahkan sikap kebanyakan daripada kita yang masih lagi tidak peka dengan membawa warga tua dan kanak-kanak ke pasaraya yang boleh mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan Covid-19 ini.
Memang di Melaka kita masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih longgar, tidak seperti rakan-rakan kita di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah yang terpaksa melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang lebih ketat.
Namun begitu, tidak salah jika kita mengambil langkah lebih ketat daripada yang disarankan oleh kerajaan untuk PKPP di Negeri Melaka ini. Tidak salah jika kita mengambil langkah seolah-olah kita di dalam PKPB demi untuk keselamatan kita sendiri.
Jika tiada keperluan jangan keluar rumah; jangan bawa bayi, kanak-kanak atau orang tua apabila keluar rumah kecuali jika perlu; pilih pembelian menggunakan kaedah penghantaran dan dalam talian untuk mengelakkan daripada kontak dengan orang lain; guna pelitup muka sentiasa apabila keluar rumah; jaga penjarakan fizikal.
Insya-Allah jika kita mengambil langkah proaktif dan mengetatkan sendiri peraturan kita sebagai langkah kendiri maka kita akan dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 ini dan sekali gus dapat memutuskan rantaiannya.
Jangan tunggu arahan daripada kerajaan semata-mata. Kita kena lebih proaktif demi menjaga keselamatan kita semua.
USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
• Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka
• Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka.
• YDP PAS Kawasan Masjid Tanah