Home Berita PAS Melaka

Pena Kaunselor – Komunikasi lambang hati

512
SHARE

Oleh : Abu Harith

KOMUNIKASI merupakan satu elemen sosial yang sangat penting dalam kehidupan seharian kita. Ada andaian yang mengatakan bahawa, “kita tidak boleh tidak untuk tidak berkomunikasi”.

Ini bermaksud bahawa, dalam keadaan apa jua sekali pun, kita akan tetap berkomunikasi, sama ada dalam bentuk lisan mahupun bukan lisan. Dalam kita sedar atau pun tidak sebenarnya.

Saidina Abdullah Al Mubarak berkata: “Jagalah lidahmu kerana sesungguhnya lidah sangat cepat membunuh seseorang. Lidah adalah utusan hati yang menunjukkan akal seseorang.” Sebagaiamana yang disebut di dalam Kitab Qalbun Salim karangan Sheikh Abdul Qadir Abdul Muthalib al-Mandili.

Kita bertanggungjawab dengan setiap patah perkataan yang kita ucap. Fikirlah sebelum bercakap. Ia lambang hati yang tersirat. Silap ucap, bahananya ditanggung di sini. Di sana pula sebagai tempat bersoal jawab. Segala amal akan dihisab.

Ingat!

Di sana bukan lagi mulut yang bercakap bagi pihak kita. Tugas itu sudahpun diserahkan kepada anggota yang lain, mewakili diri kita. Jika hari ini, banyak madah dan helah yang boleh dikeluarkan bagi menjawab segala macam persoalan, mengadu domba, mereka cerita seakan tidak berkesudahan, berhujah bagi melepaskan diri dan mudah menabur fitnah. Seakan sudah menjadi lumrah. Namun ingatlah, semua itu nanti sudah tidak berlaku lagi. Semuanya akan diadili.

Firman Allah SWT.

“Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan”.
-Surah Yasin, Ayat 65

Paul David Tripp dalam bukunya yang berjudul “War of Words” menulis, “Berhati-hati dalam memilih kata-kata kerana ia adalah cara yang indah bagi merangkumi semua erti daripada komunikasi dengan tujuan yang terkendali. Kata-kata mampu menyumbangkan penyelesaian ataupun menambahkan lagi kesulitan.”

Perkataan yang dihamburkan kepada seseorang boleh memberikan impak yang berbeza andai silap bicara. Lebih-lebih lagi komunikasi hari ini banyak menggunakan alam maya sebagai medium sebaran informasi. Maklumat yang dihantar tanpa emosi yang jelas, tanpa nada suara sebenar penyampai dan konteksnya terlalu luas. Ianya membuka ruang untuk disalah tafsir dan salah faham yang sangat besar. Kadangkala dengan sekeping gambar yang dimuat naik, mampu memberikan pelbagai tafsiran, sebaris ayat yang ditaip memberikan seribu satu makna. Cukup bahaya.

Maka, bijaklah memilih medan untuk berkomunikasi. Berfikirlah sebelum mengeluarkan kata. Berhemah dalam menyusun bicara. Kita orang yang beriman, dosa pahala menjadi perkiraan. Bukan main hentam. Rasul dan al-Quran ada panduan dan teladan.

Penulis merupakan seorang Kaunselor Berdaftar


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)