Home Berita PAS Melaka

Kalam murabbi DUPNM | Konsep dakwah

1696
SHARE

DAKWAH dari sudut bahasa bermaksud ajak. Manakala maksud dari sudut istilah pula ialah menyeru manusia kepada Allah iaitu mengajak kepada agama ISLAM yang dibawa oleh Rasulullah saw.

Dalil wajib berdakwah ialah:-

1) Al Quran

Firman Allah swt dalam surah Ali Imran ayat 104:

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Dan hendaklah ada di antara kamu yang mengajak kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar. Mereka itulah orang-orang yang beruntung.”

2) Nabi Muhammad saw adalah ikon dakwah. Baginda berhadapan dengan berbagai-bagai mad’u termasuk ahli keluarga, sahabat handai, raja, ahli perniagaan dan sebagainya untuk berdakwah menyeru kepada ISLAM.

3) Manusia sering kali mudah lupa dan alpa. Mereka perlu sentiasa diingatkan agar tidak terus lupa. Justeru itu, dakwah menjadi suatu keperluan agar manusia sentiasa diingatkan dan Islam itu terus tersebar luas.

Selain itu, dakwah juga mempunyai rukunnya di dalam beberapa sumber yang disepakati agar ia tidak bercanggah dengan yang sebenar. Sumber-sumber ini adalah:-

1) Al Quran
2) Sunnah
3) Sirah Rasulullah
4) Sirah Khulafa’ ar Rasyidin
5) Pengalaman Ulama & Pendakwah dalam menjalankan usaha dakwah

Justeru itu, para pendakwah perlu menjadikan sumber di atas sebagai rujukan dalam berdakwah. Manakala yang berikutnya adalah rukun dakwah. Rukun dakwah ini juga perlu diketahui oleh semua para pendakwah iaitu:-

1) Maudhu’ dakwah – Pengisian dakwah

Pengisian dakwah ialah perkara yang ingin disampaikan kepada sasaran iaitu Islam.

2) Daie – Pendakwah

Pendakwah ialah orang yang menyampaikan dakwah dan mesti mempunyai ciri-ciri tertentu seperti akhlak yang baik, persiapan rapi dan sebagainya.

3) Mad’u – Sasaran Dakwah

Sasaran dakwah tidak terhad kepada sesuatu bangsa malah meliputi semua orang.

4) Uslub – Cara Dakwah

Rasulullah menyampaikan dakwah dengan menggunakan medium dan method yang pelbagai. Gabungan kedua-kedua ini dinamakan manhaj.

Oleh itu, kepada semua para pendakwah hendaklah memahami dengan betul konsep dakwah termasuk rukun, sumber rujukan dan lain-lain agar tidak lari dari landasan yang sebenar. Tugas dakwah tidak bergantung kepada individu sebaliknya umat Islam perlu memainkan peranan menyebarkan dakwah ini dengan sebaiknya kerana mereka yang menyebarkan dakwah akan memperoleh ganjaran.

Seperti sabda Rasulullah yang bermaksud:-

“Orang yang menunjukkan jalan berbuat kebaikan, (beroleh pahala yang sama) seperti yang mengerjakannya.”

HR TIRMIZI

Wallahu a’lam.

Sumber : Nadi Perjuangan

USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Melaka,
● Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka
● YDP PAS Masjid Tanah.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)