Home Berita PAS Melaka

Nostalgia berdagang di ekspo Terengganu

846
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

HUJUNG tahun 2013 penulis menutup kedai buku penulis kerana ia sudah tidak memberikan hasil yang baik. Selepas menutup kedai, penulis terus berfikir apa cara lain untuk penulis berniaga. Lalu penulis terfikir untuk berniaga di ekspo.

Penulis bertemu dengan seorang rakan penulis yang banyak berniaga di ekspo-ekspo. Rakan penulis itu biasa dipanggil sebagai Pian Kemboja. Beliau seorang berbangsa Melayu tempatan. Tapi isterinya seorang berbangsa Kemboja yang sudah lama menetap di Malaysia dan merupakan penduduk tetap. Tapi wajah beliau pun memang ada iras orang Kemboja, lalu terus ‘lekat’ namanya sebagai Pian Kemboja.

Selepas berkahwin, rakan penulis ini membantu perniagaan pakaian mentua dan isterinya. Adik-beradik isterinya yang lain turut membuka beberapa buah kedai pakaian di Pekan Masjid Tanah. Selain berniaga di kedai mereka juga berniaga di ekspo. Daripada Pian Kemboja inilah penulis ‘belajar’ bagaimana berniaga di ekspo.

Pian Kemboja dan rakan-rakannya memang biasa berniaga di ekspo-ekspo sekitar Negeri Terengganu. Sebenarnya bukan Terengganu sahaja, satu Malaysia dia ‘pusing’ untuk berniaga di ekspo. Tapi yang paling kerap ialah ke Terengganu.

Pada masa itu Terengganu menjadi pilihan kerana sewa tapaknya yang lebih rendah berbanding dengan negeri-negeri lain. Menurut Pian Kemboja kadar sewa tapak ekspo di negeri-negeri seperti Johor, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan boleh mencecah sekali ganda berbanding sewa tapak di Terengganu. Itu belum lagi dibandingkan dengan sewa tapak ekspo di Kuala Lumpur dan Selangor, orang Kelantan kata ‘panggil tak dengarlah…’. Kerana itulah Terengganu jadi pilihan kami pada masa itu.

Kami bergerak dari Melaka biasanya dalam konvoi bersama-sama dengan rakan-rakan peniaga yang lain. Kadang-kala rombongan kami mencecah sehingga sepuluh buah kenderaan. Sebahagian besarnya ialah dari kalangan ‘kaum kerabat’ Pian Kemboja sendiri.

Oleh kerana Pian Kemboja mampu membawa ramai peniaga dari Melaka untuk menyertai ekspo-ekspo di Terengganu ini beliau sangat dihormati oleh penganjur-penganjur ekspo di Terengganu. Beliau boleh dikira seperti ‘penghulu’ rombongan kami pedagang-pedagang dari Melaka.

Satu perkara yang menarik apabila kami berkonvoi beramai-ramai membawa barang dagangan penulis teringat tentang sirah bagaimana Rasulullah SAW bersama-sama dengan kafilah pedagang-pedagang lain berdagang ke Syam. Terasa seperti kami melakukan cara yang sama.

Kali pertama ekspo yang penulis sertai ialah di Bandar Chukai, Kemaman. Selain Bandar Chukai, penulis juga pernah memasuki ekspo di Dataran Shahbandar dan Kuala Berang. Tapi paling kerap di Dataran Shahbandar.

Dataran Shahbandar boleh dikatakan kawasan ‘hot’ untuk ekspo. Banyak ekspo dijalankan di situ. Ada banyak individu atau syarikat yang bertindak sebagai penganjur ekspo-ekspo ini. Mereka akan memohon permit dari kerajaan tempatan untuk menganjurkan ekspo.

Kadangkala ekspo yang dijalankan di Dataran Shahbandar ini bersambung-sambung. Hanya bertukar penganjur sahaja. Biasanya satu-satu ekspo akan diberi permit selama dua minggu. Jika tak silap penulis pernah berlaku ekspo yang bersambung-sambung dan bertukar-tukar penganjur ini berlarutan sehingga dua bulan terus!

Untuk sewa tapak biasanya kami perlu membayar separuh dari jumlah sewa semasa mula berniaga. Kemudian mereka akan mengutip sedikit demi sedikit sepanjang ekspo berlangsung dan perlu diselesaikan sebelum ekspo berakhir.

Ada penganjur yang bertimbangrasa yang boleh mengurangkan bayaran sewa jika tidak ramai pengunjung yang datang dan ekspo ‘sejuk’. Istilah ‘sejuk’ biasa digunakan bila tidak ramai pengunjung. Bila ramai pengunjung kita panggil ‘meletup’.

Dari pemerhatian penulis, suatu yang membezakan antara ekspo di Terengganu dengan tempat-tempat lain pada ketika itu ialah ia dibuat tanpa memerlukan apa-apa acara atau peristiwa sebagai asbab untuk menganjurkan ekspo.

Maksud penulis, biasanya ekspo dibuat berdasarkan acara tertentu contohnya, ‘ekspo sempena kemerdekaan’, ‘sambutan hari kesihatan’ dan sebagainya. Namun di Terengganu ia tidak memerlukan apa-apa acara. Ia memang semata-mata ekspo untuk perniagaan dan menjual barang-barang.

Kata beberapa orang peniaga Terengganu ketika itu di Terengganu ini naikkan sahaja khemah pasti ramai orang akan datang berkunjung untuk membeli!

Namun hakikatnya jika sesuatu ekspo itu dibuat bersama-sama dengan program dan pameran-pameran kerajaan ia lebih menarik orang ramai untuk datang ke ekspo. Sesuatu yang dipanggil sebagai ‘crowd puller’ (daya penarik).

Agensi-agensi kerajaan yang terlibat dengan pameran pula boleh ‘memaksa’ kakitangan mereka datang ke ekspo. Bertambah meriah ekspo dan bertambah banyak jualan yang mungkin diterima peniaga yang menyertai sesuatu ekspo.

Bagi penulis pihak kerajaan melalui agensi-agensi mereka perlu menganjurkankan ekspo yang sebenarnya boleh menjadi aktiviti serampang dua mata selain dari menjadi medium penerangan dan bertemu dengan orang ramai mereka juga boleh meransang kegiatan ekonomi rakyat dari kalangan peniaga-peniaga kecil.

Begitulah sedikit pengalaman penulis semasa berniaga ekspo di Terengganu. Semua yang penulis paparkan ini ialah suasana sekitar tahun 2014 dahulu. Penulis tidak pasti adakah suasananya masih sama seperti sekarang.

Masih segar lagi kenangan tidur di dalam khemah di tapak ekspo sepanjang tempoh berniaga. Mandi dan solat Subuh di Masjid Biru atau Masjid Putih. Kemudian sarapan pagi di sebuah kedai makan di sebelah Masjid Biru. Masih terasa lagi keenakan nasi dagang Terengganu, pulut ikan masin dan macam-macam lagi sarapan pagi ala Terengganu. Sehingga sekarang masih terasa rindu ingin berekspo di Terengganu!

Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah

Rencana ini pernah disiarkan di Harakah cetak pada 20 September 2020


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)