Home Berita PAS Melaka

Retreat Pemuda PAS Kota Melaka, persediaan hadapi pilihanraya mengejut

882
SHARE

Oleh: Shawal Ahmad

KOTA MELAKA, 27 Sept: Retreat dan Hari Keluarga Dewan Pemuda PAS Kawasan Kota Melaka (DPPKKM) yang akan berakhir pada hari ini diadakan khusus untuk menyiapkan pemuda untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 15 (PRU15) yang mungkin akan diadakan dalam masa yang terdekat.

Program yang bermula pada 26 September dan berlangsung selama dua hari satu malam di Homestay Teres Lima, Melaka ini telah mendapat penyertaan menyeluruh dari ahli jawatankuasa DPPKKM.

Komitmen ini menunjukkan kesediaan pemuda bagi menggempur Dun Duyong dan Dun Telok Mas dan memastikan kemenangan di setiap kerusi DUN dan Parlimen Kota Melaka.

Menurut ketuanya, Ustaz Zulhilmi Suboh, retreat berkenaan juga diadakan bagi merangka gerak kerja dan turut difokuskan adalah usaha-usaha ke arah memperkasakan lagi organisasi pemuda bagi memastikannya terus menjadi pilihan rakyat Parlimen Kota Melaka khususnya generasi muda.

“Dalam masa yang sama, penganjuran retreat seumpama ini dapat mengeratkan ukhuwah dan kesatuan (wehdah) sesama kita,” ujarnya.

Beliau antara lain mengingatkan para pimpinan pemuda bahawa kemenangan PAS bukan terletak pada individu yang memimpin, sebaliknya PAS akan dianugerahi kemenangan oleh Allah S.W.T. jika ahlinya saling menguatkan jemaah.

Sepanjang dua hari, semua pimpinan pemuda telah mengikuti pelbagai aktiviti, antaranya sesi percambahan idea, aktiviti bermodul serta slot perbengkelan.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)