Home Dewan Ulamak PAS Pusat

Cari Titik Perpaduan, Walaupun Ada Beribu Titik Perpecahan

1810
SHARE

KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat

8 SAFAR 1442  l  26 SEPTEMBER 2020

CARI TITIK PERPADUAN, WALAUPUN ADA BERIBU TITIK PERPECAHAN

1.  Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyeru kepada semua pihak baik peringkat pimpinan dan ahli kalangan Muafakat Nasional (MN) untuk kembali fokus memperkukuhkan perpaduan dengan asas keteguhan Piagam Muafakat yang telah dimeterai bersama di PWTC pada 14 September 2019 yang lalu.

2. Setiap pihak perlu menyedari bahawa perpecahan kesatuan politik umat Islam adalah satu kejayaan musuh kerana musuh sama sekali tidak akan tidur lena dengan kesatuan politik umat Islam yang telah berjaya dibentuk. Malah ia terbukti apabila gagalnya kerajaan PH terdahulu dan digantikan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada hari ini dengan asas penyertaan MN di dalamnya bagi menjamin kestabilan politik negara tanpa ada keterlibatan DAP dan parti politik yang sekutu dengannya.

3. Mainan media musuh pastinya mempunyai naratif jahat dalam memporak porandakan kesatuan yang telah dibina ini oleh PAS UMNO secara asasnya menerusi MN, apabila pengumuman media oleh Dato Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa dirinya mempunyai bilangan majoriti yang banyak bagi menumbangkan kerajaan PN pada hari ini. Usah melayan mengikut rentak tari musuh kerana dakwaan sebegini bukan kali pertama malah pernah juga terjadi pada September 2008 dan juga Februari 2020 yang lalu. Jika sekalipun benar, dakwaan ini perlu melalui proses perundangan yang sah, bukan semata-mata menerusi pengumuman media sahaja.

4. Ingat kembali antara sebab turun ayat 103 dari Surah Ali Imran berkenaan perintah berpegang teguh dengan tali (agama) Allah dan larangan bercerai berai ialah apabila seorang Yahudi yang bernama Syas bin Qais tidak merasa senang dengan keintiman dan keakraban antara kaum Aus dan Khazraj sehingga meniup jarum halus “asabiyyah jahiliyyah” merosakkan tautan persaudaraan Islam yang telah dibina. Hampir-hampir kaum Aus dan Khazraj kembali “berperang” lantas diperingatkan oleh Allah akan nikmat persaudaraan yang dibina menerusi firman-Nya :

… وَٱذۡكُرُوا۟ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَیۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَاۤءࣰ فَأَلَّفَ بَیۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَ ٰ⁠نࣰا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةࣲ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ …

Maksudnya :
… dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga)… – [Surah Ali Imran 103]

5. Kembali ke meja rundingan dalam membina sebarang keputusan bersama bagi setiap kenyataan media berasaskan permuafakatan yang termaktub dalam Piagam Muafakat yang sedia ada. Usah kembali membiarkan suasana tenang yang sedang dirasai oleh setiap nadi rakyat dengan kerajaan pada hari ini diranapkan yang akhirnya membuka ruang DAP kembali berkuasa ekoran perselisihan yang tidak dikawal.

6. Perselisihan pasti ada namun carilah titik perpaduan yang lebih diberikan fokus iaitu agama, ummah dan kestabilan politik negara. Kita mempunyai banyak persamaan yang boleh difokuskan dari melayan hanya beberapa titik perselisihan yang ada dan sukar dielakkan. Ingatlah peribahasa Melayu bahawa :

“Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”

Sekian.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh)