Oleh : Ahmad Kautsar Md Ali
ALOR GAJAH, 8 September: “Kita meminta kepada penduduk atau orang yang kita temui (dalam program ini) supaya mendoakan agar diberikan kemenangan kepada Islam dan dikekalkan keamanan yang ada di negara kita khususnya pentadbiran di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).”
Demikian dinyatakan oleh Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Alor Gajah, Ustaz Syahbudin Senin ketika ditemubual Wartawan Rakyat Melaka (WARM) di dalam program Ziarah Ukhuwah Merdeka anjuran Jabatan Pilihanraya Dun (JPrD) PAS Durian Tunggal di sini kelmarin.
Tambah beliau, walaupun tarikh 31 Ogos sudah berlalu namun program ini tetap dijalankan demi untuk menyemarakkan semangat kebangsaan di kalangan penduduk Kampung Gangsa di dalam DUN Durian Tunggal ini.
“Harakah diedarkan bersama bendera Malaysia kecil supaya ada satu semangat menjaga negara dan mengingati kemerdekaan yang dilakukan oleh para ulama serta pejuang terdahulu.
“Program yang bermakna ini sebenarnya satu titik permulaan kepada program-program kita pada masa akan datang yang akan berasaskan ukhuwah, yang mana ia adalah sesuatu yang digalakkan oleh Islam itu sendiri.” ujar beliau lagi.