Home Berita PAS Sabah

Muslimat PAS Putatan prihatin nasib ibu tunggal

678
SHARE

Oleh: Mimie Yusmie
8 September 2020

PUTATAN: Nasib ibu tunggal sekitar DUN Tanjung Keramat sentiasa mendapat perhatian Dewan Muslimat Kawasan PAS Putatan (DMPKP).

Terbaharu, kunjungan daripada Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyakatan (LKK) DMPKP, Hamizah Rafi bersama 4 orang ahli Skuad Prihatin ke Kampung Meruntum, Tanjung Keramat, di sini pada hari Sabtu lalu.

Ziarah ini merupakan program berkala anjuran LKK yang menyasarkan golongan miskin, orang kelainan upaya, sakit, warga emas dan anak yatim. Antara objektif lawatan adalah untuk memahami masalah yang dihadapi para penduduk kampung di samping menyerahkan bantuan keperluan dapur kepada mereka.

Menurut Hamizah, kebajikan golongan ibu tunggal adalah satu aspek penting yang perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib. Mereka merupakan pencari nafkah utama untuk anak-anak dalam keadaan terpaksa mengurus segalanya sendiri.

Tambahnya, ramai yang kehilangan punca pendapatan semasa perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan Covid-19. Beban bertambah apabila ibu menghidap penyakit, seterusnya mengakibatkan kesukaran mereka menguruskan kehidupan seharian.

Antara penerima sumbangan ialah Kasmah Mohali yang mengalami masalah kesihatan. Salah satu daripada kakinya telah dipotong akibat penyakit kencing manis.

“Susah mahu bergerak ke mana-mana apabila begini, apatah lagi ada beberapa orang cucu yang perlu dijaga,” luahnya.

Beliau yang juga seorang ibu tunggal kini mengalami masalah untuk bergerak, dan aktiviti hariannya turut terjejas.

Kesemua keluarga yang diziarahi meluahkan rasa syukur dan berbesar hati dengan usaha yang dilakukan oleh pihak DMPKP. Keprihatinan dan sumbangan yang disampaikan, sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang mereka tanggung selama ini.