Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran (Surah Luqman: Siri 3)

1531
SHARE

?? Tadabbur Al Quran??
Surah Luqman: Siri 3

Ayat: 8-9 : Balasan Kebaikan bagi Orang Beriman

? Firman Allah serta terjemahannya:

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَهُمۡ جَنَّـٰتُ ٱلنَّعِيمِ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang penuh dengan berbagai nikmat;

خَـٰلِدِينَ فِيہَا‌ۖ وَعۡدَ ٱللَّهِ حَقًّ۬ا‌ۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَڪِيمُ

Kekallah mereka di dalamnya. Demikian dijanjikan Allah (janji yang tetap benar) dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

? Tafsir ringkas:

1. Selepas menyatakan sifat al-muhsinun dan ancaman bagi golongan yang ingkar terhadap perintah Allah, Allah SWT kembali menyatakan balasan bagi orang yang beriman untuk menarik hati mereka.

2. Ayat ini menerangkan tempat kembalinya orang-orang yang bertaqwa iaitu mereka yang beriman kepada Allah, membenarkan rasul-rasul serta beramal soleh yang mengikut syariat Allah. Mereka ini hidup berbahagia di kampung syurga dengan menikmati pelbagai kesenangan dan kegembiraan berupa makanan, minuman, pakaian, rumah, kenderaan, pemandangan yang indah-indah bahkan nikmat yang belum pernah terdetik di hati manusia pun.

3. Mereka hidup kekal di dalamnya, tidak akan berpindah darinya dan sama sekali tidak mahu berpindah darinya.

4. Demikianlah benar, hal itu pasti akan terjadi kerana ia merupakan janji Allah, dan Allah tidak sesekali memungkiri janji-Nya. Dialah Maha Mulia, Maha Berbuat terhadap apa yang dikehendaki-Nya. Dialah yang Maha mengalahkan segala sesuatu dan tunduk kepada-Nya segala sesuatu dan juga Maha Bijaksana dalam semua ucapan dan perbuatan-Nya.

? Pengajaran

1. Sebagai seorang Muslim, kita perlu meyakini dengan iman yang teguh bahawa wujudnya perkara-perkara sam’iyyat seperti syurga dan kenikmatan syurga, serta neraka dan azabnya.

2. Kita perlu berusaha melayakkan diri untuk menjadi penghuni syurga Allah dan mencapai kebahagian hakiki iaitu dapat bertemu dengan Allah Azza Wajalla, dengan melakukan amalan-amalan ketaatan serta meninggalkan segala larangan-larangan.

3. Kita wajib percaya dengan janji-janji Allah sama ada janji baik atau janji buruk kerana janji Allah itu semuanya benar-benar akan terlaksana.

? Rujukan:
1. Tafsir Ibnu Kathir
2. Tafsir Pimpinan ar-Rahman

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
4 September 2020 / 16 Muharam 1442