PERUTUSAN KHAS
Dewan Ulamak PAS Pusat
11 MUHARRAM 1442 l 30 OGOS 2020
SELAMAT HARI KEBANGSAAN KALI KE-63 : PERPADUAN UMMAH MEMBAWA KEMERDEKAAN
1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan kali ke-63 kepada seluruh rakyat Malaysia sempena ulang tahun kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos pada setiap tahun. Tema tahun ini “Malaysia Prihatin” membawa mesej yang dekat kepada rakyat apabila tahun ini menyaksikan negara Malaysia malah seluruh dunia berhadapan dengan pandemik COVID-19.
2. Kejayaan yang dikecapi oleh kerajaan Malaysia pada hari ini dalam menangani wabak ini malah menjadi perhatian dunia pastinya tidak akan tercapai melainkan usaha keras ini disambut baik oleh rakyat yang bersatu padu dengan perpaduan yang disemai dalam setiap diri rakyat Malaysia. Begitulah jua nikmat yang dikecapi suatu ketika dahulu hasil pengorbanan para pejuang dan juga sokongan padu dari perpaduan rakyat dalam mendapatkan kemerdekaan bagi tanah air yang tercinta ini.
3. Sejarah perjuangan para ulama dalam menuntut kemerdekaan bagi membebaskan tanah air dan masyarakat dari penjajah membuktikan kemerdekaan yang dituntut bukanlah kemerdekaan “kosong”. Ini kerana penjajahan yang berlaku antaranya mengganggu sistem pemerintahan Islam yang sedia ada sehingga kuasa agama pada bidang kuasa Raja disempitkan apabilanya dihantarnya Residen sebagai penasihat.
4. Jasa para ulama seperti Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Ku Tuan Besar dan Tok Ku Paloh, Tok Kenali, Tok Janggut dan Muhammad Syeikh Muhammad Sa’id, Mat Kilau, Sheikh Utsman Senik, Tok Gajah dan lain-lain dalam memperjuangkan kemerdekaan mesti dicatat dalam sejarah negara sebagai pahlawan negara yang perlu kenali oleh generasi baharu masa kini. Biarpun musuh cuba mengubah sejarah namun kita sebagai rakyat negara ini tidak akan menerima sejarah musuh yang cuba memburukkan perjuangan para ulama kita sehingga sanggup berkorban demi mempertahankan kedaulatan negara.
5. Kejayaan di ambang kemerdekaan menunjukkan bagaimana perpaduan ummah yang menuntut agar Islam dimasukkan ke dalam peruntukan Perlembagaan semasa perbincangan bersama Suruhanjaya Lord Reid dalam merangka kemerdekaan yang akan diberikan oleh pihak British. Ternyata perpaduan ini membuahkan hasil sekalipun suruhanjaya tersebut memasukkan peruntukan agama dengan tafsiran religion yang difahami oleh pihak Barat, namun kita selaku umat Islam wajib memahami agama dengan tafsiran sahih ad-din menurut neraca perspektif syarak.
6. Kemerdekaan yang dikecapi bukanlah pengakhiran kerana kerja-kerja mengisi ruang kemerdekaan secara berterusan adalah lebih penting bagi membawa masyarakat memahami Islam dalam memayungi masyarakat majmuk yang ada di dalam negara Malaysia ini. Malah model sebuah negara Merdeka yang menjadi perhatian kajian seluruh dunia adalah berdasarkan negara Islam di Madinah Munawwarah bagaimana Rasulullah SAW menjadikan Piagam Madinah sebagai asas perpaduan ummah dan seluruh rakyat yang berada di bawahnya termasuklah kaum Yahudi.
7. Dalam konteks realiti di Malaysia, perpaduan ummah adalah kestabilan politik tanah air kerana dengan kestabilan politik dalam masyarakat majoriti penganut Islam ia akan membawa mesej keamanan dan kesejahteraan kepada seluruh kaum yang berada di bawahnya. Ini kerana tiada lagi rekod di peringkat antarabangsa kaum minoriti bukan penganut Islam dizalimi dan terseksa di bawah masyarakat yang terdiri majoriti penganut Islam.
8. Malah yang menyedihkan, siri-siri kaum yang tertindas di bumi sendiri adalah kalangan minoriti penganut Islam di tempat wilayah penganut bukan Islam yang adanya sikap ektremis seperti :
i. Penghapusan etnik Rohingya oleh ektremis Buddha di Myammar.
ii. Penyeksaan umat Islam Uighyur di wilayah Xianjiang, Barat China oleh kekejamaan pihak kerajaan komunis.
iii. Pembunuhan ke atas umat Islam di Kashmir oleh pengganas di India.
9. DUPP menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk terus mengekalkan perpaduan yang teguh di bawah payungan Perlembagaan yang ada, serta semua pihak yang berbilang kaum hendaklah menghormati Kontrak Sosial 1948 yang mengikat keharmonian antara perkauman sejak sekian lama. Di samping itu, isu-isu sensitiviti yang melibatkan hak Islam dan Melayu perlulah dijaga dari sebarang perancangan jahat bagi merosakkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia secara umum.
Firman Allah SWT :
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya :
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” [Surah an-Nur 55]
“Malaysia Prihatin”
YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh)