?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Luqman: Siri 2
Ayat: 6-7 : Celaan Terhadap Golongan yang Ingkar dengan Perintah Allah
? Firman Allah serta terjemahannya:
وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا ۚ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ ٦
Dan antara manusia ada orang yang mengguna perkataan yang sia-sia untuk menyesatkan manusia daripada jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan mendapat azab yang menghinakan.
وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِ آيَاتُنَا وَلَّىٰ مُسْتَكْبِرًا كَأَن لَّمْ يَسْمَعْهَا كَأَنَّ فِي أُذُنَيْهِ وَقْرًا ۖ فَبَشِّرْهُ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ ٧
Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, dia berpaling dengan menyombongkan diri seolah-olah dia belum mendengarnya, seakan-akan ada sumbatan di kedua-dua telinganya, maka berilah khabar gembira perihal azab yang pedih.
? Tafsir ringkas:
1. Di sebalik kisah golongan muhsinun yang mendapat petunjuk dan rahmat Allah yang disebutkan pada awal surah, ada golongan lain yang mendapat celaan daripadaNya. Mereka adalah golongan yang menggunakan percakapan kosong bagi menyesatkan manusia dan mempersendakan ayat-ayat Allah.
2. Hasan Al-Basri berpendapat, apa yang dimaksudkan dengan ‘perkataan sia-sia’ ialah nyanyian dan alat muzik yang menyebabkan manusia lalai daripada agama. Ini kerana ketika zaman jahiliah, manusia menggunakan nyanyian untuk memuja sesuatu sehingga mendewakannya.
3. Qatadah pula mengatakan ‘perkataan sia-sia’ adalah merujuk pada orang yang gemar berkata sesuatu yang tiada manfaat, lebih suka sesuatu yang memudaratkan berbanding yang berfaedah. Tafsiran Qatadah ini bolehlah disamakan dengan slogan dan janji-janji politik yang kerap kali bersifat kosong dan tidak masuk akal.
4. Kedua-dua tafsiran daripada Hasan Al-Basri dan Qatadah ini boleh diguna pakai dan diterima.
5. Al-Quran turut menceritakan respon golongan ini apabila ditegur atau dibacakan ayat Allah SWT. Mereka sombong dan berpura-pura tidak dengar. Hal ini Allah SWT umpamakan seolah-olahnya di dalam telinga mereka ada penyumbat telinga.
6. Golongan ini dijanjikan azab yang pedih oleh Allah SWT. Allah membalas secara sinis bahawa mereka ini diberikan ‘berita gembira’. Sindiran ini sesuai dengan tahap kesombongan yang mereka tunjukkan.
? Pengajaran:
1. Manusia perlu berusaha bagi memahami dan mentadabbur ayat-ayat Allah supaya dapat melaksanakan perintah-Nya, seterusnya melindungi diri daripada terjebak dalam perkara sia-sia yang membawa ke kancah dosa.
2. Nyanyian dan hiburan sudah menjadi sebahagian daripada industri masa kini. Tiada peta di dunia yang bebas daripada keseronokan hiburan muzik. Maka, kita perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati dalam menggunakan masa kerana dikhuatiri terleka dengan hiburan yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Pilihlah nyanyian yang menonjolkan lirik yang tidak sia-sia dan sentiasalah beringat supaya tidak leka.
3. Jika tiada ucapan yang baik ingin diucapkan, diam adalah langkah terbaik. Setiap kata-kata yang keluar daripada mulut kita tidak terlepas daripada neraca timbangan hisab Allah SWT. Oleh itu, berkatalah yang baik dan bermanfaat kepada manusia, dengan menyuruh kepada kebaikan dan menegah kemungkaran.
? Rujukan:
Tafsir Al-Azhar Hamka
Tafsir Fi Zilal Quran
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
28 Ogos 2020 / 9 Muharam 1442