السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته
Segala puji bagi Allah, Tuhan yang mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat ridhwanuLlah anhum, serta sekalian pendokong perjuangan Islam.
Pertamanya, saya mewakili saf kepimpinan Jawatankuasa Kerja PAS Puchong mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Pengarah dan semua pelaksanaan program yang menjayakan persiapan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Puchong kali ke-17 pada tahun 2020 ini. Didoakan segala penat lelah dan pengorbanan dibalas ganjaran oleh Allah SWT.
Keduanya, kepada seluruh perwakilan dari Dewan-Dewan serta cawangan-cawangan, diharapkan kerjasama baik untuk menjadikan MAT ini sebagai perhimpunan kekeluargaan secara tahunan berskala besar di peringkat PAS Puchong. Muhasabah, nasihat, cadangan idea dan perkongsian bukan hanya untuk kepentingan sebelah pihak apatah lagi peribadi individu, namun yang menjadi objektifnya adalah kebaikan PAS Puchong yang didokong. Kita adalah cerminan kepada sahabat yang lain. Kehebatan kita menampung kelemahan sahabat yang lain. Kelemahan kita pula ditampung oleh kehebatan sahabat kita.
Ketiganya, sebagai sebuah jemaah Islam yang berdaftar maka kepentingan memenuhi segala tuntutan dan prosedur dari ROS adalah menjadi tanggungjawab untuk dilunaskan. Kegagalan memenuhi tuntutan ini, boleh merencatkan perancangan PAS. Sehubungan itu, kita amat menekankan aspek kerja secara berobjektif agar gerak kerja kita tidak sekadar bekerja tetapi dilihat bekerja dan selaras dengan perancangan yang dibawa dari peringkat atasan.
Keempatnya, seruan kepada semua ahli PAS Puchong agar tidak sambil lewa dalam membuat persiapan PRU 15 yang dijangka bakal berlaku pada bila bila masa sahaja. Sekalipun kita rasa selesa dengan kerajaan Perikatan Nasional sekarang ini, namun ia tidak boleh menyebabkan kita lalai dan leka dari persiapan ke arah PRU 15 antaranya :
i. Melengkapkan struktur organisasi dan dana kewangan di peringkat JPRUDM.
ii. Mengeratkan hubungan antara rakan politik kita menerusi semangat kerja Muafakat Nasional agar lebih erat, saling kenal mengenal dan bantu membantu demi Islam.
iii. Pertambahan keahlian yang lebih meluas untuk menarik kalangan masyarakat bersama dengan PAS.
iv. Memastikan tarbiyah dan usrah cawangan atau pun usrah zon berjalan seperti yang dijadualkan secara berdisplin.
Akhirnya, kita merancang dan berusaha, atas ikhtiyar manusia. Namun segala-galanya kita serahkan hasil dan pergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT.
“Islam Memimpin Perpaduan”
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Hj Saiman
YDP PAS Puchong
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
19 Zulhijjah 1441H | 9 Ogos 2020
#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan