PERUTUSAN KETUA MUSLIMAT PAS KAWASAN KOTA SAMARAHAN
Hari Raya Aidiladha atau hari raya Qurban yang disambut seluruh umat Islam bukan semata-mata kerana ibadat haji yang menjadi salah satu daripada rukun Islam yang diwajibkan kepada mereka yang berkuasa dan mampu, bahkan ia juga sebagai tanda mengingati kembali sunnah Nabi Ibrahim A.S. Kemudian sunnah ini disambung perjuangannya oleh Nabi Muhammad S.A.W dan menjadi ikut ummat yang bertakwa.
Umat Islam mengerjakan ibadah qurban ini dengan menyembelih haiwan ternakan yang disyariatkan sepertimana yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S dan anaknya Nabi Ismail A.S. Mereka melaksanakan ibadat ini semata-mata kerana Allah S.W.T.
﴿لَن يَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ ٱلتَّقۡوَىٰ مِنكُمۡۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمۡ لِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُحۡسِنِينَ٣٧﴾
“Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalannya.”
(Surah al-Hajj: 37)
Sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W, kita perlu mengambil contoh daripada kisah Nabi Ibrahim A.S untuk menjadi seorang Islam yang sebenar sebagai mana yang diperintahkan Allah. Keyakinan dan ketakwaan kita kepada Allah adalah bukanlah dibuktikan melalui perbuatan semata-mata tapi hendaklah disertai dengan niat yang ikhlas kerananya.
Dalam persediaan kita untuk menyambut Hari Raya Aidiladha dan melakukan ibadah qurban, kita masih lagi diuji Allah dengan penularan wabak coronovirus yang masih belum berkesudahan. Walaupun penularan ini tidak sehebat gelombang pertama, namun peringatan demi peringatan sentiasa diberikan oleh pemimpin kita dan barisan hadapan (“frontliners”).
Kesungguhan mereka mengorbankan masa, tenaga dan keseronokan bersama keluarga dan sanak saudara hanya semata-mata untuk memastikan Covid19 tidak merebak dengan lebih aktif dan berskala besar menjadi satu bukti pengorbanan yang mulia. Pengorbanan yang dilakukan dengan penuh ikhlas kerana Allah tanpa mempedulikan keadaan diri sendiri merupakan satu amalan yang sangat mulia di sisi Allah S.W.T.
Oleh itu, marilah sama-sama kita menyambut Aidiladha dengan menjaga diri dan keluarga kita daripada membawa kemudaratan dan menyebar kemudaratan Covid19 kepada orang lain. Sifat tanggungjawab ini adalah satu perbuatan yang disukai Allah. Patuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan demi kemashlahatan umat sejagat.
Marilah kita menyambut hari raya Aidiladha ini dengan mencontohi ketakwaan dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail a.s. Jadikanlah hari raya ini sebagai satu peluang untuk kita lebih mendekatkan diri kepada Allah S.W.T serta mengeratkan lagi kasih sayang dan persaudaraan Islam yang membawa berkat kepada kehidupan di dunia dan keselamatan di hari akhirat.
Ketua Muslimat Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Samarahan