Oleh : Ibnu Janie
MASJID TANAH, 27 Julai : Mantan Penolong Setiausaha PAS Kawasan Masjid Tanah, Allahyarham Ahmad Hasim telah dikurniakan Anugerah Khas Tokoh Pimpinan Istiqamah PAS Masjid Tanah dalam majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Masjid Tanah yang berlangsung di Auditorium Kompleks Falak Al-Khawarizmi di sini semalam.
Anugerah tersebut telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Anugerah MAT PAS Kawasan Masjid Tanah, Arshad Mohd Som dan disampaikan oleh AJK PAS Pusat, Dr Zuhdy Marsuki yang merupakan perasmi bagi mesyuarat agung itu kepada anak Allahyarham Izham Hakimi Ahmad.
Allahyarham Ahmad Hasim yang digelar sebagai ‘amilin kental PAS Melaka’ meninggal dunia pada 11 Jun lepas akibat dari pelbagai penyakit yang dihidapinya.
Selain itu Dr Zuhdy turut menyampaikan Anugerah Istiqamah kepada tokoh-tokoh istiqamah PAS dari setiap MTD iaitu Abd Jani Kassim (DUN Kuala Linggi), Haji Abdul Sulus Mohd Yusof (DUN Tanjung Bidara), Jamaludin Zainal (DUN Lendu), Jaapar Mustaffa Awang Mat (DUN Taboh Naning) dan Cikgu Zainal Abidin Abdullah (DUN Air Limau).
Selain itu beliau juga turut menyampaikan Anugerah Tokoh Pasangan Assabiqun yang dianugerahkan kepada pasangan suami isteri veteran PAS, Haji Ismail Othman dan Hajah Alimah Kassim yang diwakili oleh anak pasangan itu Ustaz Mohd Ashikin Ismail.
Sementara itu beberapa pencapaian oleh pemimpin dan ahli PAS Kawasan Masjid Tanah berkaitan SKIMPAS turut diberi penghargaan di dalam majlis yang sama.
Penghargaan untuk SkimPAS disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi YB Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin yang hadir sebagai tetamu jemputan pada majlis tersebut.
Penerima anugerah-anugerah itu ialah Jamaruddin Ahmad (Anugerah Pimpinan Mithali Skim PAS), MTD N3 Ayer Limau (Anugerah Pendaftaran SkimPAS teramai DUN) dan PAS Cawangan Paya Rumput (Anugerah Pendaftaran Cawangan Teramai).
Selain itu terdapat juga anugerah bagi PASTI yang mendaftarkan guru dan staf teramai yang diterima oleh Pasti Annur Kuala Sungai Baru, Pasti Luqman Al Hakim Lubok Redan, Pasti Arrahman Pengkalan Balak dan Pasti Al Murabitin Taboh Naning.