Oleh : Ibnu Janie
JIKA anda biasa membaca Majalah Remaja terbitan Karangkraf anda boleh melihat cara penulisan rencananya tidak menggunakan bahasa formal. Mereka menggunakan bahasa yang sesuai untuk remaja. Majalah Mastika dahulu juga kebanyakkannya menggunakan gaya bahasa tidak formal.
Namun harus diingat, bukan semua rencana sesuai menggunakan bahasa tidak formal. Beberapa perkara harus diambilkira sebelum memilih untuk menulis dengan gaya formal atau tidak formal.
Yang pertama kita melihat dari kandungan rencana. Untuk rencana yang membincangkan tentang isu yang sangat serius seperti ekonomi atau undang-undang lebih baik menggunakan bahasa formal.
Yang kedua lihat kepada target pembaca. Contohnya jika kita ingin menerangkan isu ekonomi kepada golongan bukan terpelajar, kita boleh menggunakan bahasa tidak formal walau pun isunya serius. Ini untuk memudahkan golongan ini memahami isu yang serius dan rumit.
Satu perkara asas yang berkait dengan gaya formal atau tidak formal ini ialah berkenaan kata ganti nama seseorang penulis di dalam penulisannya.
Sebaik-baiknya seseorang penulis yang menulis sesebuah rencana yang formal menggunakan kata ganti nama ‘penulis’ untuk membahasakan dirinya sendiri di dalam penulisannya. Elakkan dari menggunakan kata ganti nama ‘saya’ ketika menulis rencana formal.
Dari pemerhatian saya biasanya ada dua golongan penulis yang menggunakan kata ganti nama ‘saya’ untuk penulisan formal.
Yang pertama ialah tokoh besar yang sangat terkenal, contohnya Perdana Menteri, bekas Perdana Menteri, tokoh-tokoh akademik tersohor dan orang-orang besar yang terkenal. Golongan kedua yang menggunakan kata ganti nama ‘saya’ ialah penulisan surat pembaca yang biasa kita lihat di akhbar-akhbar.
Selain itu elakkan dari menggunakan kata ganti nama ‘anda’ apabila merujuk kepada pembaca yang membaca rencana formal anda. Gunakan ganti nama ‘pembaca’. Elakkan juga menggunakan ganti nama ‘tuan-tuan dan puan-puan’, nanti dah jadi macam ucapan pula.
Tapi sekiranya kita memilih untuk menulis rencana gaya tidak formal kita boleh menggunakan perkataan ‘anda’ atau ‘kamu’ bergantung kepada situasi dan golongan pembaca. Majalah Remaja contohnya banyak menggunakan perkataan ‘kamu’ untuk merujuk kepada pembaca. Ia mungkin selesa kepada golongan pembaca remaja. Tetapi ia agak biadab jika ditujukan kepada pembaca yang sudah berusia.
Seperti yang anda nampak, saya memilih untuk menggunakan kata ganti nama ‘saya’ dan ‘anda’ kerana saya memilih untuk menulis rencana ini secara tidak formal dan menggunakan bahasa santai.
Itu sahaja untuk siri ini. Saya akan kongsikan lagi tentang teknik penulisan rencana yang lain dalam siri-siri yang akan datang. Jomlah mula menulis rencana!
Penulis adalah Editor Berita PAS Lajnah Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah Melaka.