Home Berita PAS Melaka

Tazkirah pagi Jumaat : Kamu rasa umur kamu masih panjang?

4673
SHARE

بسم الله الرحمن الرحيم.

Al-‘Asr 103:1

وَٱلْعَصْر

Demi masa.

Al-‘Asr 103:2

إِنَّ ٱلْإِنسَٰنَ لَفِى خُسْرٍ

Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.

Al-‘Asr 103:3

إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلْحَقِّ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلصَّبْرِ

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Para pembaca yang dirahmati Allah. Kenapa Allah bersumpah dengan masa dan waktu kemudian disambung dengan ayat yang menunjukkan manusia itu di dalam kerugian? Sedarlah wahai manusia Allah hendak beritahu dan memberi peringatan yang kamu tidak tahu berapa banyak lagi masa yang kamu ada, kamu tidak tahu berapa banyak lagi waktu dan umur kamu yang masih berbaki tetapi kamu leka dan tidak membuat persiapan untuk hari yang pasti akan kamu lalui iaitu hari kematian dan akan dihitung segala amalan serta perbuatan kamu di dunia ini. Kamu sibuk dengan mencari dunia yang akan kamu tinggalkan, kamu sibuk membina harta yang akan kamu tinggalkan kepada orang lain.

Adakah engkau sedar jika engkau berjaya mengumpul jutaan ringgit di dunia ini tiba-tiba engkau mati setelah hanya sempat berbelanja ribuan ringgit, di akhirat kelak engkau tetap akan ditanya setiap sen daripada jutaan ringgit itu walaupun engkau hanya sempat berbelanja ribuan ringgit sahaja. Engkau merasakan umur masih panjang sedangkan engkau sendiri sudah melihat dan mendengar berapa ramai orang yang lebih muda daripada kamu telah pergi meninggalkan dunia ini.

Jadi para pembaca sekalian, jalan apa supaya kita boleh terselamat dari menjadi golongan yang merugi seperti yang Allah katakan di atas? Lihatlah sambungan ayat di dalam surah di atas. Beriman dalam erti kata yang sebenarnya, kemudian disusuli dengan amal soleh yang menepati syariat Islam. Berpesan pesan dengan kebenaran (menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran) dan berpesan pesan kepada kesabaran. Sebab nak istiqamah dalam menjaga iman yang sebenar, nak istiqamah menjaga amal soleh yang benar-benar menepati syariat Islam, nak istiqamah dalam berpesan kepada kebenaran (menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran) semuanya memerlukan kesabaran. Tanpa kesabaran engkau tidak akan dapat beristiqamah dalam perkara-perkara di atas.

Jadi apa yang engkau tunggu lagi? Masih merasa umur engkau panjang dan tidak akan mati dalam jangkamasa yang terdekat ini?

Apa yang baik itu datang Nya daripada Allah. Apa yang lemah dan kurang itu saya memohon ampun dari Allah. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita semua dan diberi Rahmat-Nya kepada kita serta dimasukkan kita di dalam syurga dan dapat berjumpa dengan nabi dan rasul kita nabi Muhammad SAW.

سيروا علي بركة الله.

“ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN”

#KitaJagaKita
#DemiIslam

MOHD SYAFIQ ISMAIL
KETUA URUSAN ULAMA’
PAS Kawasan Tangga Batu


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)