Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Malaysia : 100 hari Bertukar Kerajaan, Bersama Menuju Pemulihan

1442
SHARE

Malaysia : 100 hari Bertukar Kerajaan, Bersama Menuju Pemulihan

Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) merakamkan ucapan tahniah kepada barisan Menteri Kabinet Malaysia di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin yang telah menerima banyak maklum balas positif dari kalangan rakyat selepas 100 hari mengambil alih pentadbiran negara.

Reaksi positif ini menunjukkan rakyat berpuas hati dengan usaha kerajaan hari ini terutamanya apabila peralihan pucuk pimpinan negara berlaku dalam situasi getir di mana kita berdepan dengan penularan wabak Covid-19 yang mengejutkan seluruh dunia.

Tindakan pantas kerajaan seperti Perintah Kawalan Pergerakan dilihat berkesan dalam melindungi negara dari penularan jangkitan Covid-19 di samping pelancaran Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang sedikit sebanyak membantu meringankan beban rakyat untuk meneruskan kehidupan dalam suasana yang mencabar ini.

Semua ini hanya dapat dicapai hasil dari sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh setiap kementerian, sektor awam, koperat, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat Malaysia sendiri kepada kepimpinan YAB Perdana Menteri.

Namun kita juga harus peka bahawa cabaran yang bakal hadir pasca Covid-19 akan lebih hebat terutamanya dalam sudut ekonomi apabila riak-riaknya sudah dapat dilihat dari kadar pengangguran yang diunjurkan semakin meningkat dan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang turut menerima kesannya.

Oleh itu, kecemerlangan dalam pentadbiran negara oleh Jemaah Menteri ini mesti diteruskan bahkan dipertingkatkan lagi bagi mendepani cabaran akan datang.

DMPM akan sentiasa memberi sokongan kepada apa sahaja usaha murni yang akan dilakukan oleh kerajaan dan bekerjasama dalam memulihkan semula negara demi kesejahteraan rakyat Malaysia seluruhnya.

Akhir sekali, alhamdulillah tahniah dan terima kasih sekali lagi kepada kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri atas segala usaha yang dilakukan setakat ini.

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Islam Memimpin, Wanita Sejahtera”

YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
11 Jun 2020
19 Syawal 1441H