Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Surah Al-Ahzab: Siri 30

4788
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Ahzab: Siri 30

Ayat: 72 – 73: Beratnya Beban Taklifan Amanah Umat Manusia

? Firman Allah serta terjemahannya:

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا

Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, Maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat bodoh,

لِّيُعَذِّبَ اللَّهُ الْمُنَافِقِينَ وَالْمُنَافِقَاتِ وَالْمُشْرِكِينَ وَالْمُشْرِكَاتِ وَيَتُوبَ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

sehingga Allah mengazab orang-orang munafik lelaki dan perempuan dan orang-orang musyrikin lelaki dan perempuan; dan sehingga Allah menerima taubat orang-orang mukmin lelaki dan perempuan. dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

? Tafsir ringkas:

1. Isi kandungan ayat-ayat sebelum ini menyentuh perkara-perkara yang pelbagai dan sangat penting, antaranya keyakinan kepada Allah SWT sebagai satu-satunya tempat perlindungan, keutuhan akhlak Rasulullah SAW yang perlu dicontohi, hukum hakam syariat berkaitan perkahwinan, gambaran perang Ahzab dan sifat-sifat orang musyrik dan munafik serta penyesalan mereka di akhirat nanti. Surah ini ditutup dengan sangat indah dengan memberikan peringatan tentang beratnya amanah (taklifan yang merangkumi segala kewajipan, ketaatan dan hukum hakam) yang ditanggung oleh umat manusia yang tidak sanggup ditanggung oleh makhluk yang lain.

2. Langit, bumi dan gunung-ganang merupakan makhluk-makhluk yang amat besar berbanding manusia yang kecil. Makhluk-makhluk besar ini mengenali Allah SWT dan hanya taat kepada kehendakNya tanpa usaha dan susah payah. Semuanya takut memikul amanah berat tersebut kerana bimbang akan mengkhianatinya.

3. Sebaliknya, manusia (Nabi Adam) sanggup memikul amanah tersebut untuk mengenali Allah dengan akal dan perasaannya serta melaksanakan undang-undangNya dengan kesedaran, usaha dan tenaganya. Dia taat kepada Allah dengan kehendak dan kemahuannya serta sentiasa berusaha menentang penyelewengan dan keinginan hawa nafsunya. Justeru, manusia mempunyai pilihan untuk bertindak dengan kemahuan dan fikirannya untuk melaksanakan perintah Allah SWT.

4. Itulah amanah besar yang dipikul oleh manusia, yang sifatnya lemah, terbatas, sentiasa diganggu-gugat pelbagai keinginan hawa nafsu dan cenderung kepada sifat tamak haloba. Di akhir ayat 72 manusia disifatkan sebagai zalim kepada dirinya dan amat jahil terhadap daya kemampuan dirinya dalam melaksanakan amanah yang berat ini.

4. Namun apabila manusia berjaya melaksanakan amanah tersebut dengan penuh kesedaran, penuh fikiran dan kemahuan, maka dia telah mencapai satu maqam yang amat tinggi di kalangan seluruh makhluk ciptaan Allah SWT.

6. Keistimewaan manusia memikul amanah Allah dan kesanggupannya mengenali Allah dengan usaha sendiri itulah menyebabkan manusia wajar menanggung akibat pilihannya supaya balasan setimpal dengan amalannya, supaya azab seksa Allah itu benar-benar wajar kepada seluruh orang-orang lelaki dan perempuan munafik dan musyrikin. Allah juga memberi pertolongannya kepada seluruh orang-orang mukmin lelaki dan perempuan serta menerima taubat mereka atas kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan kerana kejahilan mereka.

? Pengajaran:

1. Kemahuan, kefahaman, daya usaha dan sifat memikul tanggungjawab itulah sifat-sifat istimewa yang membezakan manusia dari kebanyakan makhluk Allah yang lain. Pastikan segala keistimewaan ini digunakan dengan cara yang betul dalam melaksanakan amanah kita kepada Allah SWT.

2. Manusia hendaklah berusaha memahami tujuan hidupnya agar dapat melaksanakan amanah Allah dengan pertolongan dan rahmat daripadaNya. Dengan *sentiasa memohon keampunan dan petunjukNya, manusia akan mendapat bantuan dan hidayah daripada Allah dalam melaksanakan amanahnya di dunia ini.

3. Fahamilah segala amanah yang Allah taklifkan kepada kita, laksanakanlah dengan penuh keikhlasan dan ketaatan berpandukan pedoman wahyu Allah. Berwaspadalah dalam membuat sebarang pilihan dan tindakan kerana kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap perkara yang kita lakukan.

? Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir
Tafsir Fi Zilal

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
23 Mei 2020 / 30 Ramadhan 1441