Home Berita PAS Melaka

Tinta Lajnah Ekonomi : Iqtisad Rakyat Siri 1

888
SHARE

SISTEM PAJAK GADAI ISLAM

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan sekeping gambar yang tular di media sosial yang menunjukkan orang ramai berbaris panjang di kedai pajak gadai milik bukan islam. Perasaan penulis bercampur baur bila mana melihat gambar itu dan berbagai-bagai persoalan yang melingkari benak fikiran penulis.

Ada yang mengatakan bahawa mereka berbaris kerana kesempitan wang lantaran sudah hampir dua bulan hilang pendapatan akibat Covid 19, justeru ingin memajak barangan kemas mereka untuk mendapatkan pinjaman dan ada yang mengatakan mereka berebut-rebut untuk membayar faedah sebelum tamat tempoh matang.

Walau apa pun alasan di sebalik itu, satu persoalan yang sangat penting dan pokok ialah kenapa umat islam masih lagi memilih pajak gadai cara konvensional dan bukan mengikut sistem pajak gadai islam?

Ketika semua bank tempatan mahupun bank asing telah lama memperkenalkan pinjaman secara syariah, seperti pinjaman perumahan dan kereta, kenapa masih ramai lagi orang islam yang memilih cara konvensional ataupun non-syariah?

Apakah dia sistem pajak gadai Islam ataupun lebih dikenali sebagai Ar Rahnu? Ar Rahnu adalah satu sistem gadaian yang berlandaskan prinsip muamalat islam, di mana ia adalah satu skim PINJAMAN JANGKA PENDEK YANG BEBAS DARIPADA RIBA. Antara medium yang biasa digunakan khususnya kita di Malaysia ialah barangan kemas seperti emas.

Dalil tentang hukum pajak gadai dalam islam :

Firman Allah SWT – “Dan jika kamu sedang dalam perjalanan (lalu kamu berhutang) dan tiada memperolehi penulis, maka boleh diserahkan sahaja jaminan yang dapat dipegang
(Al-Baqarah : ayat 283)

Dalam sebuah Hadis – “Bahawasanya Nabi saw menggadaikan (Rahn) diran (baju besi) kepada seorang Yahudi yang bernama Abusy Syahmi atas pinjamannya sebanyah 30 sha gandum untuk keluarganya.”
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah Hadis – “Dari Aisyah r.a yang bermaksud Nabi s.a.w pernah membeli makanan dari seorang yahudi dengan harga yang dihutang. Sebagai tanggungan atas hutangnya itu Nabi s.a.w menyerahkan baju besinya”
(Riwayat Al-Bukhari)

Kelebihan Ar Rahnu berbanding pajak gadai konvensional

1. Tidak Mengenakan Kadar Faedah (Unsur Riba)

Perbezaan utama antara Ar-Rahn dan pajak gadai konvensional adalah pada perjanjian pinjaman yang dikaitkan dengan sesuatu ganjaran dan bukan pada gadaian itu sendiri. Dalam perjanjian Ar-Rahn, pinjaman yang diberi tidak dikenakan faedah (interest) iaitu riba di mana riba diharamkan oleh Islam, berbanding pajak gadai konvensional yang menjadikan faedah sebagai sumber hasil kepada pemberi pinjaman dan ianya diharamkan oleh Islam.

2. Nilai Gadaian Tidak Merosot

Nilai gadaian bagi barang yang ingin ditebus semula tidak merosot dan tidak berubah serta tidak berlaku penyelewengan. Tidak berlaku sebarang masalah di mana barang kemas seperti rantai emas apabila ditebus didapati kurang berat atau pendek sedikit daripada sebelum digadai.

3. Wang Lebih Gadaian Dipulangkan

Sekiranya pemberi gadaian tidak berkemampuan membayar balik hutang yang ditanggungnya apabila tamat tempoh perjanjian, pemberi gadaian akan diberitahu atau dimaklumkan tentang barang gadaian yang terpaksa dijual. Sekiranya harga jualan melebihi baki hutangnya, lebihan tersebut akan dikembalikan. Ini berlaku kerana nilai pinjaman adalah jauh lebih rendah dari nilai barang gadaian.

4. Barang Kemas Yang Disimpan Selamat

Semua barang kemas yang disimpan dalam skim tersebut adalah selamat. Di mana, penerima gadaian akan menjamin pemeliharaan dan bertanggungjawab ke atas barangan kemas yang diberi oleh pemberi gadaian. Dengan ini, pemberi gadaian tidak perlu risau dengan masalah pemeliharaan dan penjagaan barang kemas mereka sepanjang ia berada di pihak penerima gadaian.

5. Caj perkhidmatan Yang Rendah

Ar-Rahn menawarkan caj perkhidmatan yang rendah. Semua pengurusan di Ar-Rahn melibatkan kos dan risiko yang rendah jika dibandingkan dengan pajak gadai konvensional. Pajak gadai konvisional menawarkan caj perkhidmatan yang tinggi dan ada juga sebilangan pemegang atau tauke pajak gadai konvensional yang menerima atau meminta wang pendahuluan dari penggadai walaupun akta melarang kegiatan tersebut.

6. Tiada Unsur Penipuan Semasa Membuat Timbangan.

Pemberi gadaian juga tidak perlu risau dengan penipuan-penipuan yang sering berlaku semasa timbangan dibuat. Ini kerana, dalam Ar-Rahnu tidak akan berlaku sebarang unsur penipuan semasa timbangan dibuat dan nilai timbangan yang jelas akan ditunjukkan kepada pemberi gadaian.

7. Tempoh Membayar Balik Yang Munasabah

Ar-Rahnu juga merupakan sebuah pajak gadai Islam yang boleh bertolak ansur dengan pelanggannnya berkaitan dengan tempoh membayar balik wang pinjaman yang telah dipinjam. Tempoh membayar balik yang dikenakan adalah munasabah dan boleh diterima pakai oleh semua pihak. Tidak seperti sesetengah pajak gadai konvensional yang kadangkala meminta wang tambahan daripada pemberi gadaian sekiranya pemberi gadaian ingin melanjutkan tempoh pembayaran balik pinjaman mereka.

8. Pemberian Notis Kepada Penggadai Tentang Upacara Lelongan

Pihak penerima gadaian akan memberi notis kepada pihak penggadai sekiranya barang gadaian mereka hendak dilelongkan dan tempoh masa membayar balik untuk mereka telah habis. Dengan ini pihak pemberi gadaian akan mengetahui bahawa tempoh masa membayar balik yang diperuntukkan untuk mereka telah habis dan barang gadaian mereka akan dilelongkan.

9. Memberi Nilai Gadaian Yang Sepatutnya

Perkara ini sering berlaku dalam pajak gadai konvensional. Ia berlaku kerana Akta Pemegang Pajak Gadai tidak menetapkan nilai tara atau kriteria untuk menilai gadaian berkenaan. Dalam Ar-Rahnu, penerima gadaian akan memberi nilai gadaian yang sepatutnya dengan barang gadaian yang digadai oleh penggadai.

Senarai bank-bank atau agensi yang memberikan perkhidmatan Ar Rahnu, antaranya:

1. Bank Rakyat
2. Bank Islam
3. Bank Muamalat
4. Agro Bank
5. Yapiem

Adalah diharapkan supaya umat islam di negara kita ini akan dapat berubah dari sistem pajak gadai konvensional kepada sistem pajak gadai islam. Perkara yang amat penting ialah untuk kita hindari diri dan keluarga kita dari RIBA. Marilah kita sama-sama mengambil kesempatan sempena keberadaan kita pada 10 malam terakhir bulan Ramadan ini utuk kita sama-sama berazam bagi menghindari diri dan keluarga kita dari RIBA.

Sekian.

Hj Rafie Bin Hj Ahmad
• Ketua Lajnah Ekonomi PAS Melaka
• TYDP PAS Kawasan Tangga Batu

Sumber :

Ar-Rahnu Xchange
www.arrahnuxchange.com.my


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)