Oleh : Shawal Ahmad
KOTA MELAKA: Lajnah Kebajikan Dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Kota Melaka (LKK DMPKM) selesai melaksanakan program Sutera Kasih Tautan Hati (SKTH) hari ini.
Program itu yang dijalankan dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka telah bermula pada minggu lalu di sekitar kawasan Parlimen Kota Melaka.
Program tersebut yang merupakan rutin tahunan LKK DMPKM tahun ini sedikit berbeza berbanding tahun-tahun yang lepas kerana dilaksanakan dalam tempoh wabak Covid-19 yang melanda negara kita dengan mengikut SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Antara lokasi yang telah disantuni ialah Telok Mas, Pengkalan Rama, Durian Daun, Duyong, Padang Temu, Alai, Pernu, Bukit Kechil, Taman desa Duyong dan Semabok.
Seramai 40 orang golongan asnaf yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU), warga emas, Ibu tunggal dan anak yatim menerima barang sumbangan berupa makanan asas seperti beras, telur, gula, minyak, tepung, roti, kurma dan wang bagi meringankan beban mereka khususnya menjelang hari raya.
Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Melaka, Noorfazilah Ismail dalam ucapannya berkata PAS sentiasa prihatin dengan kebajikan rakyat khususnya mereka yang terdiri dari anak-anak yatim, orang kurang upaya (OKU), warga emas, fakir miskin dan ibu-ibu tunggal.
“Program Sutera Kasih Tautan Hati ini kita anjurkan setiap tahun sebagai tanda ingatan kita kepada golongan tersebut sebagai salah satu cara kita membantu rakyat yang tidak bernasib baik,” ujarnya.
Beliau juga menyeru anak-anak yatim, fakir miskin dan ibu-ibu tunggal supaya berusaha untuk memperbaiki kehidupan mereka dengan menambah ilmu dan sentiasa taat kepada perintah Allah.
“Jika kita taat kepada Allah, insya Allah kita akan dibantu oleh Allah dalam urusan kehidupan kita,” tambah beliau mengakhiri temuramah bersama wakil Wartawan Rakyat Melaka (WARM).