Guru: Tugas mulia para Nabi dan Rasul
مَنْ عَلَّمَ عِلْمًا فَلَهُ أَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهِ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ العَامِل
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengajarkan sesuatu ilmu maka dia akan mendapat pahala orang yang mengamalkannya tanpa mengurangi pahala orang yang mengamalkannya sedikitpun”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 236]
Frasa guru, jasamu dikenang, budimu disanjung bukanlah sekadar kiasan sahaja malah ia turut diraikan saban tahun pada tanggal 16 Mei sebagai tanda menghargai jasa guru. Berikutan hari yang bermakna ini, Dewan Muslimat PAS Negeri Perak berbesar hati mengucapkan Selamat Hari Guru buat semua pendidik.
Guru adalah seorang insan yang mulia dan tinggi kedudukannya. Tugas guru atau pendidik adalah satu tugas yang mulia kerana ia juga adalah tugas para nabi dan rasul. Di dalam Al-Quran dan juga hadis Nabi SAW banyak menceritakan akan galakan untuk menuntut ilmu dan salah satu wasilah atau caranya adalah dengan berguru.
Sudah tentu normal baharu negara yang sedang dilanda wabak COVID-19 ini mencipta sebuah lakaran sejarah baharu apabila setiap insan bergelar guru hanya menyambutnya di kediaman masing-masing tanpa sambutan gilang gemilang di peringkat sekolah.
Oleh hal sedemikian, marilah sama-sama kita mengucapkan Selamat Hari Guru kepada mereka yang bergelar guru. Kirimkan ucapan tanda ingatan kepada mereka melalui hantaran mesej di media sosial. Semoga ia menjadi asbab guru-guru kita tersenyum indah pada tanggal 16 Mei ini.
Sebagai penutup kata, semoga setiap di antara kita sedar dan sentiasa menghargai jasa guru-guru di sekeliling kita dengan penuh hemah dan hikmah. Sesungguhnya mereka merupakan lubuk akal lautan ilmu yang harus sentiasa kita kenangkan. Terima kasih Cikgu!
“BERGURU DEMI ILMU, BINA GENERASI BAHARU”
“Islam Memimpin, Wanita Sejahtera”
Dr Hjh Najihatussalehah binti Ahmad
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Perak
16 Mei 2020 | 23 Ramadan 1441H