Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Al-Quran : Surah Al-Ahzab: Siri 18

1149
SHARE

Tadabbur Al-Quran : Surah Al-Ahzab: Siri 18

Ayat 41-44: Zikir : Pintu Rahmat dan Syurga Ilahi

Firman Allah serta terjemahannya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْراً كَثِيراً

Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya;

وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلاً

Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.

هُوَ الَّذِي يُصَلِّي عَلَيْكُمْ وَمَلَائِكَتُهُ لِيُخْرِجَكُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَكَانَ بِالْمُؤْمِنِينَ رَحِيماً

Dia lah yang memberi rahmat kepada kamu dan malaikat-Nya pula (berdoa bagi kamu) untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang (iman dari taat); Dan adalah Dia sentiasa Melimpah-limpah rahmat-Nya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan di akhirat).

تَحِيَّتُهُمْ يَوْمَ يَلْقَوْنَهُ سَلَامٌ وَأَعَدَّ لَهُمْ أَجْراً كَرِيماً

Sambutan penghormatan yang akan diberi Tuhan kepada mereka semasa menemui-Nya ialah ucapan “Salam” (selamat sejahtera); dan Dia telah menyediakan untuk mereka pahala balasan yang mulia.

Tafsir ringkas:

1. Setelah menerangkan sikap Rasulullah terhadap para isterinya dan keteguhan janji setia baginda terhadap Allah SWT iaitu dengan ketakwaan, ketulusan dan keikhlasan semata-mata hanya untuk-Nya, Allah SWT kembali memerintahkan hamba-hamba-Nya yang Mukmin dengan perintah yang sama seperti para Nabi dan Rasul-Nya iaitu mengagungkan Allah SWT dengan berzikir dan bertasbih kepadaNya.

2. Allah SWT perintahkan hamba-hamba-Nya yang Mukmin agar memperbanyakkan berzikir kepada-Nya yang sentiasa melimpahkan pelbagai nikmat supaya mereka meraih pahala yang melimpah dan keindahan tempat kembali.

3. Az-Zamakhsyari menafsirkan ayat ( بُكْرَةً وَأَصِيلاً ) mengatakan maksudnya adalah di segenap waktu. Kedua-dua waktu tersebut disebutkan di sini kerana waktu tersebut disaksikan dan dihadiri oleh para malaikat yang bertugas pada siang hari dan para malaikat yang bertugas pada malam hari.

4. Disebut kalimah tasbih selepas zikir walaupun sebenarnya tasbih adalah termasuk dalam zikir, menunjukkan kelebihan kalimah tasbih sebagai zikir yang afdhal diamalkan.

5. Selawat Allah kepada hamba-hamba-Nya adalah dengan melimpahkan rahmat-Nya kepada meraka. Sedangkan selawat malaikat untuk hamba-hamba-Nya adalah doa mereka yang memohon keampunan untuk orang-orang yang beriman dan dijauhkan dari azab neraka serta dimasukkan ke dalam syurga.

Pengajaran:

1. Berzikirlah kepada Allah SWT di dalam setiap keadaan menggunakan lisan dan hati dengan zikir yang memenuhi segenap perasaan, kesedaran dan emosi yang takut kepada-Nya. Dan bertasbihlah kepadaNya pada setiap waktu dan kesempatan yang ada di permulaan pagi dan petang.

2. Zahirkan kesyukuran kita kepada Allah SWT melalui zikir dan melakukan amal soleh. Mudah-mudahan Allah SWT akan memberikan pahala yang melimpah ruah dan menjauhkan kita daripada kegelapan kekufuran kepada nur keimanan.

3. Yakinilah pertemuan yang penuh kehormatan dan keindahan di hadapan Allah SWT kelak kerana rahmat Allah di akhirat kelak adalah rahmat yang paling besar. Allah SWT menyambut orang-orang beriman pada hari kiamat kelak setelah memasuki syurga dengan ucapan “Salam” iaitu sebagai berita gembira bahawa mereka telah selamat daripada azab Allah SWT.

4. Lazimilah 4 zikir yang paling disukai oleh Allah sebagaimana yang telah dikhabarkan oleh Baginda Nabi SAW dalam sabdanya:

عَنْ سَمُرَةَ بْنِ جُنْدَبٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَحَبُّ الْكَلاَمِ إِلَى اللَّهِ أَرْبَعٌ سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ. لاَ يَضُرُّكَ بَأَيِّهِنَّ بَدَأْت

Dari Samurah bin Jundub, ia berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda, “Ada empat ucapan yang paling disukai oleh Allah: 1. Subhanallah, 2. Alhamdulillah, 3. Laa ilaaha illallah, dan 4.  Allahu Akbar. Tidak berdosa bagimu dengan mana saja kamu memulai. (HR. Muslim).

Rujukan:
1. Tafsir Al-Munir
2. Tafsir Ibn Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
11 Mei 2020 / 18 Ramadhan 1441