16 RAMADAN 1441H
9 MEI 2020M
TITIPAN CINTA 17 RAMADAN
Nasihat berasal dari Bahasa Arab ‘nasaha’ yang bererti menapis iaitu murni serta bersih dari segala kotoran. Menurut Kamus Dewan, nasihat bermaksud ‘ajaran atau petunjuk yg baik’. Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa nasihat ialah ajaran atau ajakan kepada kebaikan dan kesejahteraan dengan menggunakan ungkapan yang terbaik agar dapat diterima dan berbekas ke lubuk hati orang yang dinasihati itu.
Sebagai makhluk yang bersifat pelupa, nasihat sangat diperlukan oleh manusia agar tidak tersesat dalam arus kehidupan. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah an Nahl, ayat 125:
اُدۡعُ اِلٰى سَبِيۡلِ رَبِّكَ بِالۡحِكۡمَةِ وَالۡمَوۡعِظَةِ الۡحَسَنَةِ وَجَادِلۡهُمۡ بِالَّتِىۡ هِىَ اَحۡسَنُؕ اِنَّ رَبَّكَ هُوَ اَعۡلَمُ بِمَنۡ ضَلَّ عَنۡ سَبِيۡلِهٖوَهُوَ اَعۡلَمُ بِالۡمُهۡتَدِيۡنَ ﴿16:125﴾
Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk”.
Nasihat adalah amalan yang sangat baik dan dianjurkan dalam Islam. Seruan Allah SWT terhadap perkara tersebut bukan sahaja dapat dilihat di dalam Al-Quran malah juga dinyatakan dalam banyak hadis. Di antaranya ialah hadis yang diriwayatkan daripada Jarir r.a., katanya: “Aku berjanji kepada Rasulullah saw. akan setia dan patuh, dan memberi nasihat kepada setiap orang muslim. Lalu beliau bersabda kepada ku, “Lakukanlah semampumu!”.
Salah seorang nama besar yang sering diminta nasihat daripadanya ialah Syaidina Ali r.a. Nama lengkapnya ialah Ali bin Abi Thalib bin Abd al-Mutthalib bin Hasyim bin Abd Manaf al-Quraishy al-Hasyimi al-Makki al-Madani al-Kufi. Beliau merupakan sepupu dan menantu Rasulullah SAW, Khalifah ar Rasyidin yang ke-4 dan termasuk dalam kalangan 10 orang sahabat yang dijamin masuk syurga.
Ketokohan beliau khususnya dari aspek keilmuan tergambar dalam catatan sejarah apabila beliau sering diminta pandangan oleh khalifah-khalifah sebelumnya apabila timbul sesuatu isu yang rumit dan menyentuh agama. Malah, terdapat sebuah hadis yang bermaksud: “Aku adalah pusat ilmu dan Ali adalah pintunya. Barangsiapa yang inginkan ilmu maka datangilah ia daripada pintunya.” Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, hadis ini walaupun bertaraf dhaif tetapi ianya bukanlah hadis palsu. Maknanya kewibawaan beliau dalam bidang keilmuan memang diiktiraf dan tidak dapat diragui oleh sesiapa pun.
Pada tanggal 17 Ramadan tahun 40H, Syaidina Ali r.a telah diserang hendap oleh seorang khawarij bernama Abdul Rahman bin Muljam ketika sedang menuju ke masjid untuk menunaikan solat Subuh. Serangan tersebut tepat mengenai kepala yang menyebabkan beliau cedera parah. Seorang doktor berpengalaman bernama Athir bin Amr bin Hani telah dipanggil untuk membuat rawatan. Setelah merawat, didapati kecederaan tersebut sangat parah dan tiada harapan untuk pulih. Justeru, dengan berat hati beliau telah membisikkan kepada Amirul Mukminin yang sedang menderita kesakitan tentang situasi kecederaannya yang sebenar dan menyarannya agar meninggalkan wasiat/nasihat sebelum keadaan bertambah kritikal.
Reda dengan keadaan yang menimpa dirinya dan menyedari hakikat bahawa beliau akan menemui Allah SWT dalam tempoh masa yang tidak lama lagi, pemimpin yang berjiwa besar dan sangat pengasih ini meminta dipanggilkan anak-anak dan kaum kerabatnya duduk bersama dengan orang ramai yang hadir untuk menyampaikan nasihat mahupun wasiat. Di antara intipati nasihat atau wasiat beliau yang saya namakan Titipan Cinta 17 Ramadan ialah:
● Sentiasalah bertakwa kepada Allah swt.
● Jangan mengejar-ngejar dunia walaupun dunia mengejar kalian.
● Jangan menyesal jika ada sebahagian daripada habuan dunia itu lepas meninggalkan kalian.
● Katakanlah hal-hal yang benar.
● Berkerjalah untuk memperolehi pahala akhirat.
● Uruslah setiap urusan kalian dengan teratur dan rapi (well management and best practices).
● Peliharalah hubungan persaudaraan. Sabda Rasulullah saw: “Memperbaiki dan menjaga hubungan persaudaraan antara sesama kaum Muslimin lebih afdal daripada solat dan puasa yang umum (sunat)”.
● Pertengkaran itu merosakkan agama.
● Tiada kekuatan apa pun selain di atas keizinan Allah SWT.
● Ambil berat dan eratkan hubungan kekeluargaan kerana kelak Allah akan melimpahkan kemudahan kepada kalian di hari perhitungan
● Prihatin terhadap anak-anak yatim. Jangan biarkan mereka kelaparan dan kehilangan hak. Sabda Rasulullah saw: “Sesiapa memelihara anak yatim dan mencukupi keperluannya, orang itu pasti akan dikurniakan syurga oleh Allah SWT. Sama halnya seperti siksa neraka yang pasti akan ditimpakan Allah SWT kepada orang yang memakan harta anak yatim”.
● Bertadabburlah dengan al-Quran dan amalkannya
● Prihatin terhadap jiran tetangga kerana ia adalah pesan daripada Nabi saw kepada kami sehingga kami menduga beliau akan menetapkan hak waris bagi mereka.
● Perhatikanlah rumah Allah iaitu Masjid al-Haram. Jangan ditinggalkan selama masih hidup; sebab jika ditinggalkan, kalian tidak akan dipandang orang. Sesiapa yang selalu dekat kepadanya, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu.
● Peliharalah solat sebab solat itu amal perbuatan yang paling mulia dan merupakan tiang agama.
● Tunaikanlah zakat sebagaimana sepatutnya sebab zakat itu menghilangkan murka Allah SWT.
● Laksanakanlah puasa bulan Ramadan sebab puasa itu merupakan penutup jalan ke neraka.
● Berjuanglah di jalan Allah dengan harta dan jiwa. Hanya dua jenis sahaja orang yang berjuang di jalan Allah iaitu (1) seorang pemimpin yang memberikan bimbingan, dan (2) orang yang patuh kepada pemimpin serta mengikuti kebenaran pimpinannya.
● Jagalah baik-baik keturunan nabi; jangan sampai dianiaya.
● Jagalah baik-baik sahabat nabi yang tidak mengada-adakan bida’ah mungkar dan tidak melindungi orang yang mengada-adakan bida’ah mungkar; sebab Rasulullah saw telah menyampaikan pesan tentang mereka itu, dan mengutuk sesiapa yang mengada-adakan bida’ah mungkar dan orang yang melindungi mereka.
● Prihatin terhadap fakir miskin. Jangan sisihkan mereka dalam kehidupan anda.
● Lindungilah kaum wanita dan para hamba sahaya kalian, sebab Rasulullah mewasiatkan supaya kalian menaruh perhatian kepada dua golongan lemah ini, iaitu kaum wanita dan para hamba sahaya.
● Dalam menjalankan kewajiban terhadap Allah, janganlah takut dicela oleh orang lain. Allah akan melindungi dan menyelamatkan kalian dari orang yang hendak berbuat jahat.
● Bercakap baik kepada semua orang sebagaimana yang telah diperintahkan Allah SWT.
● Jangan tinggalkan amar ma’ruf dan nahi mungkar; supaya Allah tidak melimpahkan kekuasaan kepada orang-orang yang berperangai jahat. Sebab jika terjadi hal sedemikian itu, doa kalian tidak akan dimakbulkan lagi.
● Eratkan perhubungan, tolong menolong dan berkasih sayang.
● Bantu membantu dalam kebajikan dan takwa; jangan saling membantu dalam berbuat dosa dan permusuhan.
● Sesungguhnya kekayaan yang sebenar ialah akal fikiran (kefahaman dan kebijaksanaan).
● Kefakiran yang paling teruk ialah kebodohan
● Kesepian yang paling menakutkan ialah ujub dan bangga diri
● Keturunan yang paling mulia ialah budi pekerti yang luhur
● Hati-hati bertemankan orang yang bebal kerana keinginannya untuk memberi faedah kepada kamu, (tanpa sedar) dia sebenarnya boleh memudaratkan kamu
● Elakkanlah daripada bersahabat dengan orang yang kedekut kerana dia akan berada jauh darimu ketika kamu amat berhajat kepadanya
● Hindarilah daripada bersahabat dengan orang jahat kerana dia sanggup menjualmu walaupun untuk sesuatu yang remeh
● Jauhilah bersahabat dengan seorang pendusta kerana dia akan mendekatkan kepadamu yang jauh (musuh) dan menjauhkan darimu yang dekat (sahabat).
● Janganlah lihat kepada siapa yang berkata-kata tetapi dengarlah kepada apa yang dikata.
● Semua ikatan persaudaraan akan terputus melainkan persaudaraan yang dibina bukan atas dasar ketamakan
Semoga Allah SWT menjadikan kita daripada kalangan orang-orang yang mencintai sahabat Nabi SAW dan mengambil pengajaran daripada nasihat-nasihat yang diberikan.
DR. AZMAN YUSOF
AJK Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka
9 Mei 2020 / 16 Ramadan 1441H