Home Berita PAS Melaka

Komen Editor Melaka : Catatan Kenangan Buat Allahyarham Ustaz Ismail Kamus

694
SHARE

Mereka yang seusia saya pasti mengenali Allahyarham Ustaz Ismail Kamus dari satu ruangan beliau dalam sebuah akhbar yang bertajuk ‘Soal Jawab Agama Bersama Dengan Ustaz Ismail Kamus’. Tapi saya tak ingat akhbar atau majalah mana. Ianya sekitar tahun 80an.

Saya percaya ruangan itu yang mula-mula menjadi faktor utama yang menjadikan Allahyarham dikenali oleh orang ramai. Selepas itu Allahyarham sering memberikan kuliah di radio dan televisyen.

Samasa era kegemilangan program ‘Program Forum Perdana Ehwal Islam’ di TV1 sekitar penghujung 90an dahulu Allahyarham juga antara panel yang sering diundang ke program tersebut yang dipengerusikan oleh Dato’ Dr Hassan Ali.

Ramai antara panel-panel forum ini yang akhirnya mengisytihar menyertai PAS pada hujung 1990an ketika era reformasi. Sebenarnya kebanyakkan mereka sebelum ini telah menyertai PAS sebelum itu, cuma tidak mengisytiharkannya sahaja.

Pada tahun 1999 Allahyarham menyertai Pilihanraya Umum 1999 dan memenangi kerusi Dun Gombak Setia di Selangor atas tiket PAS. Dato’ Dr Hassan Ali pula memenangi kerusi Dun Sungai Burung Selangor juga atas tiket PAS.

Saya ingat lagi dalam satu ceramah Dr Hassan Ali pernah berkata “Akhirnya majoriti ahli panel Forum Perdana Ehwal Islam semuanya masuk PAS termasuk dengan pengerusinya sekali.”

Sekitar tahun 2008 saya membuka kedai buku. Pada tahun 2009 sebuah buku tulisan Allahyarham telah diterbitkan yang berjudul ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ terbitan Telaga Biru.

Buku ini dianggap sebagai buku fekah lengkap yang mencakupi semua ibadah khususiyah dalam syariat Islam. Saya ingat lagi seorang pelanggan saya datang ke kedai buku saya bertanyakan buku itu, tetapi dia tidak ingat nama buku itu. Kata pelanggan saya itu “Saya nak cari buku yang dari lahir sampai mati tu.’ menggambarkan buku Indahnya Hidup Bersyariat tulisan Allahyarham sebuah buku yang lengkap.

Sepanjang saya berniaga buku tulisan Allahyarham ini tidak pernah cukup stok. Selepas beberapa tahun diterbitkan pun ia masih lagi dijual seperti goreng pisang panas. Sesuatu yang sukar untuk berlaku kepada mana-mana buku lain yang pernah saya jual.

Kalau tak silap saya tak sampai tiga tahun buku itu terbit cetakannya telah mencapai 500 ribu naskhah. Itu belum dikira jualannya sehingga ke hari ini.

Hari ini, penulis dan murabbi hebat yang mempunyai beratus ribu orang murid ini telah pergi meninggalkan kita membawa bersama segala ilmu-ilmunya yang hebat.

Sebuah kematian yang dicemburui, pada hari Jumaat, di dalam bulan Ramadan yang mulia ini sesuai dengan status beliau sebagai ulamak murabbi ummah. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al Fatihah.

IBNU JANIE
Editor Berita PAS Melaka
Ketua Unit Berita Dan Wartawan Rakyat (WARM)
Lajnah Penerangan Dan Media Baru PAS Melaka


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)