BACALAH WAHAI TEMAN (5)
Rabu, 6 Mei 2020
Oleh :
YB Ustaz Mohd Akmal bin Kamarudin
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Dan Penerangan,
memangku portfolio Sains Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau,
Negeri Perak Darul Ridzuan
PERISTIWA PENTING DI BULAN RAMADAN; PENGAJARAN DAN PENGIKTIBARAN
Ramadan merupakan bulan untuk menguji kekuatan iman umat Islam. Dalam sirah dan sejarah Islam, terdapat beberapa peristiwa penting yang menjadi satu pengajaran dan pengiktibaran kepada umat Islam sepanjang zaman, antara peristiwa penting tersebut ialah :
a. Penurunan al-Quranb. Tahun Kesedihan dan pemergian sahabat-sahabat besarc. Peperangan dan pembukaan Islam
PENURUNAN AL-QURAN
17 Ramadhan merupakan tarikh nuzul al Quran, yang dikenali Lailatul Qadar. Pada 21 Ramadhan, wahyu yang pertama diturunkan ialah اقرأ yang mengandungi maksud yang cukup hebat. Peristiwa ini digambarkan di dalam hadis yang panjang كتاب بدء الوحي di dalam Shahih Bukhari. Ini juga disebut dalam Surah al-Baqarah ayat 185 :
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ
Maksudnya : bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekali manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah..
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa al-Quran itu sebagai petunjuk yang memandu manusia kepada hala tuju yang jelas dan nyata.
TAHUN KESEDIHAN DAN PEMERGIAN PARA SAHABAT BESAR
Bulan Ramadan juga memaparkan ujian berat yang ditanggung oleh Rasulullah SAW pada era makkiyah dengan pemergian dua individu penting iaitu pemergian isteri Baginda SAW, Saidatina Khadijah binti Khuwailid. Tak lama kemudian pemergian bapa saudara Baginda SAW, Abu Thalib. Tahun ini dinamakan عام الحزن tahun kesedihan. Kedua-dua individu inilah yang banyak menyokong perjuangan Nabi menyebarkan Islam kepada masyarakat dengan menggunakan harta dan pengaruh. Pemergian mereka memberi kesan yang agak mendalam buat Rasulullah SAW.
Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang menyatakan di dalam Feqhul Harakah bahawa pemergian dua individu ini dalam hidup Baginda SAW, sebagai bukti bahawa perjuangan Baginda SAW diserahkan bulat bulat kepada Allah SWT. Bukan semata mata mengharap bantuan manusia
Antara lain juga, Ramadhan juga menyaksikan pemergian beberapa orang yang penting dalam sejarah Islam, antaranya pemergian Saidina Ali RA pada 17 Ramadhan 40 Hijrah, pemergian Saidna Amru Al Ash pada 30 Ramadhan 43 Hijrah, dan pemergian Ummul Mu’minin Saidatina Aisyah RA pada 17 Ramadhan 58 Hijrah.
PEPERANGAN DAN PEMBUKAAN ISLAM
Ramadan adalah bulan perjuangan. Selain daripada penurunan al-Quran, bulan Ramadan menyaksikan beberapa peristiwa peperangan dan pembukaan Islam samada berlaku pada zaman Nabi SAW mahupun di zaman para Khulafa’ Ar-Rasyidin.
Antara peristiwa peperangan dan pembukaan yang berlaku di zaman nabi ialah :
1. Peperangan Badar
Peperangan Badar yang berlaku pada 17 Ramadah tahun 2 Hijrah yang merupakan peperangan pertama yang terjadi dalam Islam. Pada 29 Ramadhan tahun yang sama, Allah SWT menceritakan pensyariatan perang di dalam al Quran :
كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Surah al Baqarah 216)
Peperangan yang memaparkan jumlah bilangan dan kekuatan yang begitu berbeza di antara tentera Islam dan tentera musyirikin. Tentera Islam hanya berjumlah 313 orang dengan kelengkapan yang serba kekurangan sementara tentera musyikirin berjumlah 1000 orang dengan kelengkapan yang lengkap. Namun semua ini tidak mematahkan semangat Nabi SAW dan orang Islam untuk terus berhadapan dengan musuh.
Dalam hal ini Nabi SAW telah merancang pelbagai strategi seperti pemilihan tempat yang strategik, penyusunan tentera yang tersusun dengan pelbagai peranan di samping pengaduan dan pengharapan sepenuhnya kepada Allah SWT. Akhirnya umat Islam diberikan kemenangan oleh Allah SWT dengan kemenangan yang penuh gemilang.
Peperangan ini juga memaparkan bahawa setiap perjuangan menegakkan Islam pasti akan diuji oleh Allah SWT samada sebelum mencapai kemenangan, mahupun selepas mencapai kemenangan. Bahkan selepas mencapai kemenangan, cabaran dan ujian akan bertambah berat dari semasa ke semasa.
2. Pembukaan Mekah
Pembukaan Mekah yang berlaku Pada 21 Ramadhan tahun 8 Hijrah bersamaan 630 Masihi. Peristiwa ini disebut oleh Allah SWT di dalam al Quran;
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ (1) وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا (2)فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا (3)
Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), (1) Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai, (2) Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat. (3)
Pembukaan Kota Mekah berlaku selepas pengkhianatan terhadap Perjanjian Hudaibiyyah yang dimulakan daripada pihak Quraisy. Nabi SAW mula menggerakkan tentera ke Mekah tanpa menyebut sebarang tujuan bagi memastikan operasi Baginda SAW tidak terbongkar.
Menurut Dr Ali Muhammad Sollabi, Nabi SAW amat merahsiakan operasi pembukaan Mekah sehingga semua sahabat dan keluarga Nabi SAW yang terdekat tidak mengetahui operasi pada kali ini. Ini juga menunjukkan kepimpinan mesti merahsiakan strategi daripada diketahui oleh orang lain termasuk isterinya sendiri. Sebarang rahsia yang didedahkan walaupun dengan niat yang baik boleh menyebabkan rahsia terbocor dan perancangan menemui kegagalan.
Nabi SAW memasuki Kota Mekah dalam keadaan menundukkan kepala sambil membaca Surah al-Fath sebagai tanda kesyukuran di atas nikmat kemenangan dan pembukaan yang besar. Apabila sampai di sisi kaabah, Baginda SAW terus bertawaf dalam keadaan di tangannya memegang busur panah, lantas Nabi SAW menghancurkan dengan berhala-berhala disekeliling kabaah dengan busur tersebut sambil membaca ayat 81 Surah al-Isra’ dan ayat 49 Surah Saba’;
وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۚ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا
Maksudnya : Dan katakanlah : Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan Syirik); Sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap (Surah al Isra’, ayat 81)
قُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَمَا يُبْدِئُ الْبَاطِلُ وَمَا يُعِيدُ
Maksudnya : Katakanlah telah datang kebenaran (al-Quran yang memberi segala kebaikan) dan perkara yang salah tidak memberi sebarang kebaikan di dunia, usahkan hendak mengulanginya di akhirat. (Surah Saba’ ayat 49)
Dalam keadaan begitu, golongan musyrikin berkumpul di kaabah sambil menunggu-nunggu hukuman daripada Nabi SAW di atas perbuatan mereka selama ini kepada Baginda SAW dan orang muslimin, khususnya ketika mereka berada di Mekah pada Era Makkiyah. Ketika itu Nabi SAW bersabda;
ما تظنون أني فاعل بكم؟و فقالوا : خيرا, أخ كريم وابن أخ كريم فقال : لا تثريب عليكم اليوم، يغفر الله لكم
Maksudnya : Menurut sangkaan kamu semua, tindakan apa yang aku akan lakukan kepada kamu ? mereka menjawab (dengan nada merayu) : kebaikan wahai saudara yang mulia, anak kepada saudara yang mulia,” lantas nabi bersabda “ jangan kamu berkeluh kesah, sesungguhnya Allah mengampunkan kamu (kamu akan dibebaskan). (Riwayat al Baihaqi di dalam الدلائل)
Pembukaan Mekah memberi begitu banyak pengajaran kepada umat Islam khususnya berkenaan dengan Feqh kemenangan Islam. Kemenangan Islam mesti di sambut dengan penuh tawaduk dan rasa bersyukur, bukannya dengan rasa riya’ dan takabbur dengan kekuatan yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Dalam masa yang sama Islam mendahulukan perdamaian dan kemaafan daripada permusuhan dan balas dendam. Dengan sebab itu, golongan musyrikin Mekah masuk ke dalam Agama Islam dengan berbondong-bondong. Ini mesti menjadi pegangan Umat Islam pada hari ini dalam menyambut kemenangan sebagaimana yang diajar oleh Nabi SAW.
3. Peperangan Tabuk
Antara peperangan yang terakhir yang berlaku pada bulan Ramadan (mengira perjalanan Nabi SAW pada bulan Rejab dan pulang ke Madinah pada 26 Ramadan) di zaman Nabi SAW ialah Peperangan Tabuk yang berlaku pada tahun 9 Hijrah. Ini merupakan pertembungan pertama berlaku dalam menentang kuasa besar dunia iaitu Empayar Rom Byzantine.
Perang Tabuk juga dikenali dengan (غزوة العسرة) ‘Perang Kepayahan’ kerana perang ini berlaku dalam musim yang panas dan tempat peperangan yang jauh, iaitu sekitar 778 km (mengikut jarak jalan yang ada zaman sekarang). Peperangan ini juga berlaku dalam keadaan kekurangan bekalan dan binatang perang. Sudah tentu ini semua membawa kepada kepayahan dan ujian yang amat hebat kepada umat Islam
Peperang Tabuk juga di kenali sebagai غزوة الفاضحة iaitu ‘Perang Pembongkaran’. Menurut al-Zurqoni dalam kitabnya (شرح المواهب اللدنية) perang ini dinamakan sebagai perang pembongkaran kerana dalam perang ini terdedahnya hakikat golongan munafik, termasuk perancangan, tipudaya dan jenayah mereka terhadap Nabi SAW dan orang Islam.
Peperangan ini berlaku selepas Nabi SAW mendapat perkhabaran bahawa Tentera Rom sedang mengumpulkan bala tentera untuk menyerang Madinah. Dengan sebab itu, Nabi SAW bersegera menyiapkan bala tentera menyerang dahulu mereka sebelum Rom menyerang orang Islam.
Menurut Mohd Fadhli Ghani sejumlah 30,000 tentera Islam, termasuk 10,000 tentera berkuda telah bergerak ke Tabuk dengan dipimpin sendiri oleh Nabi SAW. Perjalanan sejauh 800 km ini mengambil masa 20 hari untuk sampai di Tabuk. Pasukan Rom yang dipimpin oleh Satria Hercules bergerak ke kawasan tersebut dengan 40,000 tentera dan dibantu oleh Bani Ghassan. Kedua-dua pasukan walau bagaimanapun tidak bertembung ekoran tindakan pasukan Rom berpatah ke utara setelah menyedari kekuatan sebenar pasukan Islam
Perjalanan yang sangat panas ini dibantu oleh Allah SWT dengan hujan lebat. Ketika sampai di Tabuk, Allah SWT mendatangkan rasa takut di hati musuh sehingga mereka tidak berani menghampiri pasukan Islam kerana dikatakan melihat 100,000 Tentera Malaikat yang berada dalam pasukan Islam.
Setelah itu, pemimpin Ilyah, sebuah kota berdekatan Tabuk, Yuhana bin Ru’bah telah datang kepada Rasulullah SAW untuk berdamai, diikuti oleh penduduk Jarba dan Azruh. Mereka bersedia membayar jizyah dan tunduk kepada Islam. Dengan bertambahnya kekuatan Islam, pasukan Rom telah berundur dan kemenangan dicapai pada 27 Syaaban 9H tanpa sebarang pertempuran.
Ini antara tiga peristiwa penting yang berlaku pada Bulan Ramadan pada zaman Nabi SAW. Manakala pembukaan yang berlaku di zaman Khulafa’ ar-Rasyidin pada bulan ramadan ialah
1. Perang Faradh yang dipimpin oleh Khalid al Walid berhadapan Rom Byzantine pada Ramadhan 12 Hijrah bersamaan 633 Masihi. Pada Ramadhan 13 Hijrah pula berlakunya pertempuran Islam berhadapan Parsi sehingga membuka Kota Iraq (Sassanid)
2. Kota Palestin juga terbuka (terbebas) pada Ramadhan 15 Hijrah bersamaan 636 Masihi, iaitu pada zaman Saidina Umar RA. Palestin ketika itu merupakan salah satu wilayah pemerintahan Rom Byzantine. Pada tahun yang sama juga terjadinya Perang Qadisiyyah.
3. Ramadhan 20 Hijrah, bersamaan 641 Masihi bermulanya proses pembukaan Mesir di bawah pimpinan Saidina Amru al Ash. Mesir juga merupakan salah satu wilayah terpenting Empayar Rom Byzantine. Ketika itu juga sedang dibina Masjid Amru al Ash di sana.
4. Ramadhan 31 Hijrah bersamaan 652 Masihi, tentera Islam berjaya mengalahkan Sasania, yang menyaksikan pengakhiran Empayar Parsi. Manakala pada Ramadhan 37 Hijrah bersamaan 658 Masihi terjadinya peristiwa Tahkim di antara Saidina Ali RA dan Saidina Mu’awiyyah RA.
Apa yang disenaraikan ini hanyalah sebahagian daripada sejarah sejarah Islam di bulan Ramadhan. Penuh dengan liku liku kehidupan Nabi SAW dan para sahabat RA, yang diiktiraf sebagai kurun yang terbaik, sepertimana yang diriwayatkan oleh Imran ibn Hushain RA, bahwa Rasulullah ﷺ bersabda,
خَيْرُكُمْ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ
“Yang terbaik di antara kamu adalah orang yang berada di kurunku kemudian orang-orang yang mengiringi mereka, kemudian orang yang mengiringi mereka.” (Shahih Bukhari dan Muslim)
Kehidupan mereka menjadi contoh dan tauladan buat umat manusia pada hari ini. Supaya tidak merasa mudah dan selesa dalam melakukan gerak kerja Islam. Tugasan tugasan memartabatkan agama Allah SWT memerlukan kesungguhan dan pengorbanan
Kita perlu sedar bahawa Ramadhan adalah bulan perjuangan. Berjuang menegakkan Islam, berjuang memelihara diri daripada nafsu (مجاهدة النفس). Puasa itu bukan semata mata menahan diri daripada makan dan minum, akan tetapi ia adalah latihan untuk melahirkan jiwa yang kental.
Ramadhan adalah bulan yang melahirkan kekuatan iman yang pastinya dikuatkan dengan ujian ujian buat para pejuang yang bersabar. Ujian ujian ini bertujuan meningkatkan daya keimanan seseoran sepertimana firmanNya :
أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ
Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)? (Surah Ali Imran 142)
Sila rujuk : https://www.facebook.com/154446448068883/posts/1487219174791597/?d=n