Oleh : Ibnu Janie
MELAKA : Laman FB Jabatan Agama Islam Negeri Melaka (JAIM) tengahari tadi telah memuatnaik satu surat pekeliling bertarikh 4 Mei berkaitan dengan aktiviti masjid dan surau di Negeri Melaka.
Surat pekeliling bertajuk ‘Pekeliling JAIM Bil 8/2020 – Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Di Masjid Dan Surau Negeri Melaka sepanjang Bulan Ramadan 1441H 2020M’ itu ditujukan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Masjid dan Imam seluruh Negeri Melaka.
Menurut surat tersebut, masjid dan surau dibenarkan untuk mengadakan Solat Tarawih berjemaah oleh mereka yang bertugas dengan maksimum seramai empat orang. Mereka yang bertugas hendaklah sihat dan tidak menunjukkan gejala demam, sesak nafas dan batuk.
“Solat Tarawih hendaklah dilaksanakan sebanyak lapan rakaat dengan tiga solat witir tanpa penggunaan pembesar suara dan perlaksanaan hendaklah ringkas.
“Perlaksanaan tadarus Al Quran, qiyamulail, majlis berbuka puasa, majlis khatam Al Quran, majlis tahlil dan kenduri arwah, program memasak dan agihan bubur lambuk di masjid hendaklah ditangguhkan.
“Perlaksanaan program gotong-royong membersihkan tanah perkuburan, masjid dan surau hendaklah ditangguhkan dan surau hendaklah ditutup sepenuhnya sepanjang tempoh PKP” kata surat tersebut.
Surat yang ditandatangani oleh Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samad itu juga menjelaskan tentang peraturan kutipan zakat fitrah sepanjang tempoh yang sama.
Menurut pekeliling itu lagi, pegawai masjid yang dilantik sebagai Amil Zakat Fitrah Dan Zakat Harta dibenarkan menggunakan premis masjid sahaja sebagai pusat kutipan zakat dengan mematuhi norma baharu dan prosedur penjarakan sosial yang ditetapkan oleh kerajaan serta meminimumkan penggunaan ruang masjid.
“Sebarang aktiviti yang dilaksanakan dalam tempoh PKP yang melibatkan perhimpunan atau kehadiran ramai orang di maajid atau surau adalah dilarang melainkan mendapat kebenaran atau arahan dari Jabatan Agama Islam Melaka.
“Surat pekeliling ini membatalkan Surat Pekeliling JAIM Bil 7/2020 dan tarikh kuatkuasa adalah serta merta” jelas surat itu.