Siri: 10
11 Ramadan 1441H
4 Mei 2020
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته.
بسم الله الرحمن الرحيم.
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.
Hikmah Puasa
1. Puasa melemahkan nafsu, hasrat jahat dan keinginan berbuat maksiat. Ini membuatkan roh menjadi tidak ternoda dan kembali suci.
2. Puasa juga adalah pendidik jiwa, penyucian hati, pengendalian pandangan dan menjaga anggota tubuh daripada dosa.
3. Puasa juga adalah rahsia antara hamba dengan tuhannya. Hal ini ditegaskan dalam hadis qudsi. Allah berfirman “Setiap amal anak Adam untuk dirinya kecuali puasa. Puasa untukku dan Aku sendiri yang membalasnya”.
4. Puasa adalah alat penyatuan kaum muslimin. Mereka berpuasa pada waktu yang sama dan berbuka puasa pada waktu yang sama. Mereka merasa lapar bersama dengan penuh persaudaraan. Penyatuan membuatkan mereka diliputi rasa cinta dan setiakawan.
5. Puasa adalah penghapus kesalahan dan kejahatan. Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah saw. bersabda, “Dari Jumaat ke Jumaat yang lain, daripada umrah kepada umrah yang lain dan dari Ramadan ke Ramadan yang lain adalah penghapus dosa, ini selagi dosa itu tidak termasuk dosa besar”.
6. Puasa menyihatkan badan kerana ia mengosongkan perut daripada semua bahan yang merosakkan. Ia juga merehatkan pencernaan, membersihkan darah, menormalkan fungsi ginjal, hati dan jantung.
7. Dalam puasa terdapat rahsia agung iaitu ketaatan menyembah Allah. Muslim patuh atas segala perintahnya, tunduk kepada agamanya, meninggalkan hasrat makan, minum dan bersetubuh hanya demi mencari keredhaan Allah.
8. Apabila seseorang itu berpuasa, dirinya terasa kerdil di hadapan Allah, hatinya mudah tersentuh dan rasa tamak menipis. Nafsunya terkawal sehingga dengan demikian doanya dikabulkan kerana dekat dengan Allah.
9. Puasa adalah kemenangan muslim mengalahkan hawa nafsunya. Ia kemenangan muslim ke atas dirinya dan ia bukti kesabaran. Orang yang tidak berpuasa tanpa sebab yang dibenarkan, ia tidak mampu mengendalikan dirinya dan tidak dapat mengalahkan hawa nafsunya.
10. Puasa dapat menginsafkan diri bahawa kita ini adalah hamba Allah yang lemah di sisi-Nya.
11. Dan yang akhir puasa dapat melatih diri supaya menjadi orang yang muqarrabin iaitu orang yang dekat dengan Allah. Orang yang dapat menahan diri daripada menurut keinginan nafsu semata-mata dan di kala itu segalanya diserah dan disandarkan kepada Allah semata-mata.
Semoga Allah memberikan ganjaran yang setimpal dengan segala kewajiban yang kita laksanakan. Sekian.
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين والحمد لله رب العالمين…. والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته.
Tazkirah Ramadan bersama:
USTAZ ABU SAKINAH
Pengerusi Majlis Muafakat Pondok Negeri Melaka
AJK Dewan Ulamak PAS Melaka
11 Ramadan 1441H / 4 Mei 2020