Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Surah Al-Ahzab: Siri 8

1842
SHARE

??Tadabbur Al Quran??
Surah Al-Ahzab: Siri 8

Ayat 21-23: Rasulullah SAW sebagai Uswah Hasanah dan Sikap Orang Mukmin Berhadapan dengan Perang Ahzab

? Firman Allah serta terjemahannya:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.

وَلَمَّا رَأَى الْمُؤْمِنُونَ الأحْزَابَ قَالُوا هَذَا مَا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَصَدَقَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَمَا زَادَهُمْ إِلا إِيمَانًا وَتَسْلِيمًا

Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata, “Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita.” Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidak menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.

مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلا

Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya).

?Tafsir ringkas:

1. Setelah menjelaskan sikap orang-orang munafik dalam perang Ahzab melalui ayat-ayat sebelumnya, dinyatakan pula gambaran sikap orang beriman dalam berhadapan dengan ujian di medan Ahzab ini.

2. Dalam ayat 21 ini Allah SWT memuji Rasulullah SAW dan mensifatkan baginda sebagai contoh yang baik bagi orang-orang yang beriman dengan akhlak dan perbuatannya yang mulia, kerana baginda telah menghadapi saat yang genting itu dengan tabah hati dan gagah berani. Hanya mereka yang benar-benar mengharapkan balasan dan rahmat Allah SWT serta sentiasa melazimi zikrullah akan thabat mencontohi baginda Nabi SAW.

Lima sikap yang digalakkan kepada orang mukmin dalam meneladani Rasulullah SAW tatkala menghadapi perang Ahzab ini ialah sabar, kekentalan hati, istiqamah, perjuangan, dan penantian baginda SAW terhadap pertolongan daripada Allah dalam usaha mencari solusi dan jalan keluar.

3. Seterusnya Allah SWT menyatakan reaksi orang beriman ketika melihat tentera Ahzab yang ramai menuju Madinah, di mana mereka sama sekali tidak berasa lemah atau kerdil bahkan tetap thabat atas keimanan mereka. Mereka meyakini janji Allah SWT bahawa segala kesusahan pasti ada jalan keluar dan pertolongan dari Allah SWT. Oleh itu mereka tetap thabat berjihad bersama Rasulullah SAW tanpa ragu-ragu.

4. Menerusi ayat 23, dikhabarkan tentang orang-orang beriman yang menepati janjinya kepada Allah SWT untuk menyertai pertempuran berhadapan dengan ajalnya (kematian) dan ada juga dari kalangan mereka itu yang menanti-nantikan peperangan yang seterusnya untuk disertai dan mereka menunjukkan bahawa mereka tidak memungkiri janji dan mereka tidak sedikit pun gentar dan berundur dari medan perang.

Imam Ibnu Kathir membawa riwayat tentang kematian di kalangan para sahabat dalam Perang Uhud, tentang salah seorang sahabat yang syahid iaitu Anas Ibnun Nadr RA dan ada yang mengatakan tentang Talhah RA yang telah gugur. Mereka mati dalam keadaan membenarkan janji mereka kepada Allah. Mereka sentiasa menunggu peluang untuk berjihad agar mendapat mati syahid.

?Pengajaran:

1. Berpegang teguhlah dengan ikrar dan janji kepada Allah SWT walau dalam apa jua keadaan yang dihadapi. Berusahalah mendapatkan jalan yang terbaik dan diredhai Allah SWT agar beroleh kemenangan dan kemudahan daripada-Nya.

2. Ujian kesusahan dan kesukaran adalah ujian yang mematangkan dan menguatkan jiwa seseorang. Berpada-padalah dengan kesenangan dunia, khuatir kelak jiwa menjadi lemah apabila ditimpa kesusahan.

3. Pasakkanlah cita-cita untuk mati syahid dalam diri, agar ia sentiasa menjadi penguat untuk tetap thabat dalam perjuangan menegakkan Islam yang syumul.

? Rujukan:
1. Tafsir Ibnu Katsir
2. Tafsir Al-Wasit lil Quran al-Karim

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
1 Mei 2020 / 8 Ramadhan 1441