Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Surah Al-Ahzab: Siri 6

919
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Ahzab: Siri 6

Ayat 16-18 : Sikap Orang Munafik Dalam Menghadapi Jihad Di Medan Perang

? Firman Allah serta terjemahannya:

قُل لَّن يَنفَعَكُمُ الفِرارُ إِن فَرَرتُم مِّنَ المَوتِ أَوِ القَتلِ وَإِذًا لّا تُمَتَّعونَ إِلّا قَليلً

Katakanlah: “Lari itu sekali-kali tidaklah berguna bagimu, jika kamu melarikan diri dari kematian atau pembunuhan, dan jika (kamu terhindar dari kematian) kamu tidak juga akan mengecap kesenangan kecuali sebentar saja”.

قُل مَن ذَا الَّذي يَعصِمُكُم مِّنَ اللهِ إِن أَرادَ بِكُم سوءًا أَو أَرادَ بِكُم رَحمَةً ۚ وَلا يَجِدونَ لَهُم مِّن دونِ اللهِ وَلِيًّا وَلا نَصيرًا

Katakanlah: “Siapakah yang dapat melindungi kamu dari (takdir) Allah jika Dia menghendaki bencana atasmu atau menghendaki rahmat untuk dirimu?” Dan mereka itu tidak memperoleh bagi mereka pelindung dan penolong selain Allah.

قَد يَعلَمُ اللهُ المُعَوِّقينَ مِنكُم وَالقائِلينَ لِإِخوٰنِهِم هَلُمَّ إِلَينا ۖ وَلا يَأتونَ البَأسَ إِلّا قَليلًا

Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang menghalang-halangi di antara kamu dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya: “Marilah kepada kami”. Dan mereka tidak mendatangi peperangan melainkan sebentar.

? Tafsir ringkas:

1. Dalam ayat ini, Allah SWT terus mendedahkan sikap orang munafik sebagaimana dalam ayat-ayat sebelumnya, di samping menempelak tindakan mereka dengan hujah-hujah akidah melalui Baginda SAW.

2. Allah SWT menyatakan bahawa tiada gunanya mereka melarikan diri daripada kematian atau pembunuhan. Jika dapat melarikan diri pun, hanya sebentar sahaja dapat bersenang-senang di dunia ini, iaitu hanyalah sebatas sisa umur mereka.

3. Tiada sesiapa yang dapat melindungi dan menyelamatkan mereka daripada takdir Allah jika Dia menghendaki bencana atas kebinasaan dan kekalahan. Tiada sesiapa juga yang dapat menimpakan keburukan kepada mereka jika Allah telah menghendaki kebaikan. Orang-orang munafik tidak akan memperolehi manfaat dan pelindung yang dapat menolak bahaya daripada diri mereka.

4. Allah SWT Maha Mengetahui orang-orang yang menghalang orang Islam daripada berjuang bersama-sama dengan Rasulullah SAW dengan berkata kepada saudara-saudaranya, “Datanglah kepada kami.” Mereka tidak menyertai peperangan melainkan hanya sebentar kerana adanya sifat pengecut dan tidak menerima kewajipan berperang di medan ini.

5. Tentera Muslimin menghadapi tipu daya kaum munafiqin dan penyebar-penyebar khabar angin di kota Makkah dan di dalam barisan-barisan bala tentera Islam. Mereka melemahkan semangat orang Islam, memecah-belahkan mereka, menimbulkan keraguan terhadap janji Allah SWT dan sebagainya. Mereka menghasut penduduk Madinah supaya meninggalkan barisan perjuangan dan pulang ke rumah dengan alasan bahawa kedudukan mereka bertahan di hadapan “khandak” tidak membawa apa-apa makna.

? Pengajaran:

1. Kita hendaklah berwaspada dengan sikap orang munafik yang suka memecah belahkan kesatuan umat Islam dengan menyebarkan hasutan dan menyebarkan khabar angin. Selain itu, pastikan diri kita juga terselamat daripada sifat munafik iaitu melarikan diri daripada perjuangan.

2. Jagalah hati dan fikiran agar tidak menelan secara bulat-bulat segala dakyah yang datang daripada pihak musuh Islam serta tidak meninggalkan arahan pemimpin.

3. Perkuatkanlah dalaman dengan pengisian rohani. Dr Sa’id Ramadhan Al Buti mengatakan bahawa selain persiapan fizikal, faktor utama bagi mencapai kemenangan dalam apa sahaja peperangan ialah penyerahan diri kepada Allah dan ikhlas mengabdikan diri kepadaNya.

? Rujukan:
1) Tafsir Al Jalalain
2) Akademi Tarbiyyah Dewan Pemuda PAS

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
29 April 2020 / 6 Ramadan 1441