Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Surah Al-Ahzab: Siri 2

1841
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Ahzab: Siri 2

Ayat 4-5: Manhaj Ilahi Dalam Perkara Zihar Dan Anak Angkat

? Firman Allah serta terjemahannya:

مَا جَعَلَ اللَّهُ لِرَجُلٍ مِنْ قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ وَمَا جَعَلَ أَزْوَاجَكُمُ اللائِي تُظَاهِرُونَ مِنْهُنَّ أُمَّهَاتِكُمْ وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَاءَكُمْ أَبْنَاءَكُمْ ذَلِكُمْ قَوْلُكُمْ بِأَفْوَاهِكُمْ وَاللَّهُ يَقُولُ الْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِي السَّبِيلَ

Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya, dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu zihar itu sebagai ibumu, dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu (sendiri). Yang demikian itu hanyalah perkataanmu di mulutmu saja. Dan Allah mengatakan yang sebenarnya dan Dia menunjukkan jalan (yang benar).

ادْعُوهُمْ لآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِنْدَ اللَّهِ فَإِنْ لَمْ تَعْلَمُوا آبَاءَهُمْ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ وَمَوَالِيكُمْ وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُمْ بِهِ وَلَكِنْ مَا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Panggillah mereka (anak-anak angkat itu) dengan (memakai) nama bapa-bapa mereka; itulah yang lebih adil di sisi Allah, dan jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka (panggillah mereka sebagai) saudara-saudaramu seagama dan maula-maulamu. Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu khilaf padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengajakan oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

? Tafsir ringkas:

1. Selepas menyatakan seruan utama kepada Nabi SAW dan umat agar bertaqwa, berpegang dengan wahyu dan bertawakkal hanya kepadaNya, Allah SWT kemudian membatalkan sebahagian adat Jahiliyyah yang bercanggah dengan syariat Islam dan adab-adabnya iaitu zihar dan menasabkan anak angkat kepada bapa angkatnya.

2. Sebab turun ayat ini ialah peristiwa Rasulullah SAW berkahwin dengan Zainab binti Jahsy yang merupakan bekas isteri Zaid bin Harithah anak angkat Rasulullah SAW. Perkahwinan ini mengundang kecaman daripada kaum musyrikin Makkah pada masa itu. Mereka mempermainkan Rasulullah SAW dengan mengatakan baginda berkahwin dengan isteri anaknya sendiri, lalu turunlah ayat ini. Dalam riwayat lain, ayat ini juga turun berkenaan Zaid bin Harithah , anak angkat Rasulullah SAW yang dipanggil dengan nama Zaid bin Muhammad, maka turunlah ayat ini sebagai teguran kepada Nabi SAW agar menasabkan anak angkat kepada bapa kandungnya.

3. Ayat ini menunjukkan Allah SWT Maha Adil terhadap hambaNya. Demi menjaga kemuliaan dan nasab keturunan, Allah SWT tidak menjadikan dalam satu rongga dua hati, tidaklah isteri yang dizihar itu menjadi ibu kepada suaminya, dan tidaklah seorang anak lahir daripada dua bapa. Ini menunjukkan, isteri bukanlah ibu dan anak angkat bukanlah anak kandung.

4. Setelah turun ketetapan Allah SWT mengharamkan anak angkat dinasab kepada bapa angkat, maka Sahlah binti Suhail (isteri Abu Huzaifah) bertanya Nabi SAW: Dulu kami mengambil Salim sebagai anak kandung kami, aku dapati Abu Huzaifah menyayanginya sedangkan Allah SWT telah menurunkan ketetapanNya. Maka Rasulullah bersabda: “Susuilah dia, maka kamu akan menjadi mahramnya.”

? Pengajaran:

1. Hendaklah para suami menjaga adab pergaulan dengan isteri dan menghormati para isteri agar tidak terjerumus dalam dosa. Haram bagi seorang suami menziharkan isterinya dan perbuatan tersebut termasuk dalam dosa besar. Ini merupakan manhaj Allah SWT dalam pergaulan suami-isteri. Isteri bukanlah ibu. Janganlah suami menyakiti hati isteri dengan menyamakannya dengan ibu mertuanya yang telah tua. Suami yang menzihar isterinya mestilah melaksanakan kaffarah iaitu memerdekakan hamba atau berpuasa dua bulan berturut-turut atau memberi makan 60 orang miskin. Dengan menunaikan kaffarah ini barulah si suami diharuskan bercampur dengan isterinya. Sekiranya lahir anak hasil hubungan ketika dalam keadaan zihar dan si suami masih belum melaksanakan kaffarah, maka anak itu adalah anak yang sah tetapi perbuatan suami tadi adalah haram dan berdosa.

2. Hendaklah kita banyak membuat kebajikan termasuklah menjaga anak-anak yatim dan anak-anak terbiar. Islam mengharuskan mengambil anak angkat dengan niat membantu anak tersebut, tetapi mengharamkan anak tersebut dinasab kepada bapa angkat dan menjadikannya pewaris harta. Anak angkat wajib dinasab kepada bapa kandungnya; jika tidak tahu siapa bapa kandungnya, panggillah mereka sebagai saudara seaqidah iaitu dibin atau dibintikan kepada Abdullah atau nama Allah yang lain (Asma ul Husna), begitu juga jika anak angkat itu anak tidak sah taraf menurut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia 1981. Inilah ketetapan Allah SWT dalam bab anak angkat.

3. Hendaklah kita menjaga batas aurat dan pergaulan dengan anak angkat. Sebagai solusi, Islam mensyariatkan kaedah susuan sebagai jalan menjadikan anak angkat sebagai mahram.

? Rujukan:

1.Tafsir al-Quran al-‘Azim, jilid 6

2. Turjuman al-Mustafad (Terjemahan Tafsir al-Baidhawi), Jilid 2.

3. 400 Soal Jawab Nikah Kahwin.

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
25 April @ Mei 2020 / 2 Ramadhan 1441